Had umur presiden, timbalan diumum Isnin

JAKARTA: Sembilan hakim Perlembagaan akan menghadiri sidang Isnin ini bagi membacakan keputusan semakan kehakiman berhubung had umur minimum calon presiden dan timbalan presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan Februari 2024.

Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Anwar Usman, mengesahkan keputusan semakan kehakiman berhubung perkara itu sudah dibuat.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan wartawan mengenai semakan yang dijadualkan untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalannya yang bakal dibacakan oleh mahkamah pada Isnin.

“Kelmarin sudah diputuskan. Insya-Allah jika tiada halangan, sembilan hakim Perlembagaan akan menghadiri sidang bagi membacakan keputusannya pada 16 Oktober ini,” katanya.

Peraturan yang ada sekarang memperuntukkan had umur minimum bagi calon presiden dan timbalan presiden adalah 40 tahun.

Sebelum ini, Mahkamah Perlembagaan menerima tujuh permohonan semakan kehakiman yang mendesak untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalan presiden kepada 35 tahun.

Keputusan pembacaan semakan ini dibuat empat hari sebelum pendaftaran calon dijadualkan untuk dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia pada 19 Oktober.

Jika permintaan untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalan presiden diterima, anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang kini memegang jawatan Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka, berpotensi untuk memasuki Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Sebelum ini,  Gibran mengakui bahawa Pengerusi Parti Gerindra,  Prabowo Subianto, telah mengulangi permintaan untuk bergandingan dengannya sebagai calon timbalan presiden, walaupun usianya baru mencapai 36 tahun.

Related posts

Leave a Comment