BAITULMUQADDIS – Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan tidak akan ada tempat bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), membabitkan tentera Turkiye atau Qatar di Gaza, pasca perang kelak.
“Kami mempunyai sedikit perbezaan pendapat dengan rakan di Amerika Syarikat (AS) mengenai komposisi majlis penasihat bagi beberapa proses di Gaza,” katanya.
Pejabat Netanyahu pada Sabtu lalu, membantah komposisi ‘Jawatankuasa Eksekutif Gaza’, merangkumi Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, dan diplomat Qatar, Ali Al-Thawadi, bersama pegawai serantau dan antarabangsa lain.
“Netanyahu mengarahkan Menteri Luar untuk menghubungi Setiausaha Negara AS mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan sebab bantahan, tetapi Israel sebelum ini menentang sebarang peranan Turkiye di Gaza pasca-perang, dengan hubungan antara kedua-dua negara merosot secara ketara sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Netanyahu ketika berucap di Parlimen sebelum ini, membantah komposisi ‘Jawatankuasa Eksekutif Gaza’.
“Di Semenanjung Gaza, kita berada di ambang fasa kedua rancangan Presiden AS, Donald Trump, bermakna satu perkara mudah: Hamas akan dilucut senjata dan Gaza akan menjadi zon bebas tentera.
“Tidak akan ada tentera Turkiye atau Qatar di Semenanjung Gaza,” katanya merujuk secara jelas kepada ISF untuk wilayah itu seperti ditetapkan dalam rancangan Trump.
Sebagai sebahagian daripada rancangan menamatkan perang di Gaza dikemukakan Trump, Rumah Putih minggu lalu, mengumumkan penubuhan ‘Lembaga Pengamanan’ dipengerusikan Trump dan jawatankuasa pakar teknokrat Palestin.
Ia bertujuan mentadbir wilayah yang dilanda perang itu, serta sebuah lagi ‘Jawatankuasa Eksekutif Gaza’, dikatakan direka untuk memainkan peranan lebih bersifat sebagai penasihat.
Setakat ini, kontingen akan membentuk pasukan yang diberi tugas menyediakan keselamatan di Gaza serta melatih pasukan polis baharu bagi menggantikan Hamas itu belum ditentukan.
Trump pada Jumaat lalu, menamakan Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers, untuk mengetuai ISF di Gaza.
‘Lembaga Pengamanan’ asalnya diwujudkan bagi menyelia proses pembinaan semula Gaza, tetapi piagamnya dilihat tidak mengehadkan peranan itu hanya kepada wilayah Palestin yang diduduki.
Nnnn
