Tangguh kemasukan pelancong China

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Tangguhkan sementara! Itu gesaan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) supaya menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

Presiden MATA, Dr Mohd Khalid Harun, berkata lonjakan ketara kes Covid-19 di China, baru-baru ini, meningkatkan lagi potensi risiko kemunculan varian baharu, sekali gus menggusarkan rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

“Kita sedia maklum bahawa hospital di seluruh China dibelenggu lonjakan kes Covid-19 susulan keputusan negara itu untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

Trauma dihadapi pemain industri pelancongan akibat Covid-19 masih belum pulih. Banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dengan menanggung kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Dalam kenyataan, semalam Mohd Khalid berkata, perkara sedemikian diharap tidak berulang lagi memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.

Katanya, banyak negara telah memperketatkan kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus Covid-19.

Beliau turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia supaya mengalihkan sasaran perniagaan mereka kepada pelancong dari Asia Barat dan Eropah tanpa bergantung pada China, buat masa ini.

Media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China.

China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment