WASHINGTON – Utusan Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, mengumumkan bermulanya fasa kedua pelan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza, dengan penubuhan sebuah kerajaan Palestin bersifat teknokrat di wilayah itu.
Beliau berkata fasa kedua turut merangkumi usaha pembinaan semula serta penyahketenteraan sepenuhnya Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas dan kumpulan Palestin lain.
“Amerika Syarikat menjangkakan Hamas mematuhi sepenuhnya semua kewajipannya,” kata beliau, sambil menegaskan kewajipan itu termasuk pemulangan jasad tebusan Israel terakhir yang terkorban.
Di bawah fasa pertama, Hamas dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Oktober, selain pertukaran tebusan-tahanan, pengunduran separa tentera Israel dan peningkatan bantuan kemanusiaan.
Susulan pengumuman AS itu, para pengantara serantau, Mesir, Gaza dan Turkiye, menyambut baik penubuhan apa yang mereka sebut sebagai “Jawatankuasa Teknokrat Palestin bagi Mentadbir Semenanjung Gaza”, dengan menyatakan ia akan “menyumbang kepada pengukuhan usaha ke arah kestabilan serta penambahbaikan keadaan kemanusiaan”.
Mereka turut memaklumkan bahawa badan 15 anggota itu akan diketuai Ali Shaath, bekas timbalan menteri perancangan dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang disokong Barat dan mentadbir sebahagian Tebing Barat yang diduduki.
Pentadbiran peralihan itu akan beroperasi di bawah penyeliaan sebuah “Lembaga Keamanan”, yang akan dipengerusikan oleh Trump, selaras dengan pelan 20 perkara yang diumumkannya tiga bulan lalu.
Pengumuman berkaitan lembaga tersebut dijangka dibuat dalam beberapa hari lagi, termasuk ketika presiden menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos minggu hadapan.
Bekas utusan PBB ke Asia Barat, Nickolay Mladenov, yang kini mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel dan Palestin, dijangka menjadi wakil lembaga itu di lapangan di Gaza.
Terdahulu, Hamas dan sekutunya, Jihad Islam Palestin (PIJ), berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka bersetuju menyokong usaha penubuhan kerajaan Palestin berasaskan teknokrat itu “sambil menyediakan persekitaran yang sesuai” untuk ia memulakan tugas.
