KUALA LUMPUR 14 Jan. – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mengingatkan jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencabar ‘garis merah’ semata-mata kerana UMNO menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Garis merah yang dimaksudkan itu adalah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera; kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh (menyentuh isu berkenaan). Jangan sesekali melanggar garis merah ini,” katanya.
Beliau berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail, Mohamed Khaled Nordin dan Johari Ghani; Setiausaha Agung, Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari, Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Penerangan, Azalina Othman Said.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Dr Mohamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu.
Mohamad mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak menganggap taring UMNO sudah tumpul hanya kerana berada dalam satu Kabinet.
“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu. Kita akan bangun, bersuara dan menentang habis-habisan sesiapa juga, kawan atau lawan yang cuba merobek tiga teras utama ini.
“Ini adalah amaran keras. Kita sedia bekerjasama demi rakyat dan negara, tetapi jika tangan gatal mula sentuh agama, bangsa dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada,” katanya.
Tegasnya, politik boleh berubah, gabungan boleh brrtukar tetapi prinsip kekal mati bersama UMNO.
Beliau juga menolak anggapan kononnya UMNO parti ‘pak turut’ yang boleh dibuli dan dicucuk hidung kerana pemimpin parti dalam kerajaan sedang dan sudah melakukan prinsip berkenaan ketika di dalam Kabinet.
“Jangan siapa-siapa ingat UMNO ini ‘melukut di tepi gantang. UMNO adalah penyemak imbang yang paling efektif dari dalam kerajaan.
“Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja,” katanya.
Mohamad juga menjelaskan pimpinan UMNO dalam kerajaan melakukan tiga perkara yang disifatkan sebagai ‘perisai Melayu’ iaitu menangguhkan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar; menghalang cadangan pilihan raya kerajaan tempatan dan memperkasa agenda Bumiputera.
Beliau turut menolak dakwaan ‘agenda Melayu mati di bawah Kerajaan Perpaduan’ sebaliknya Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) berjalan lancar, Mara tidak disentuh, manakala TEKUN dan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) terus dibela dan ditambah dana pelaburannya.
Beliau berkata UMNO juga memperjuang pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain mengusahakan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) di bawah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamad berkata dalam apa juga keadaan, UMNO tidak akan apologetik dalam mempertahankan hak bangsa.
Beliau menegaskan UMNO boleh berkongsi kuasa, tetapi tidak akan bekerjasama atau menggadaikan maruah bangsa.
Selain itu, Islam adalah agama Persekutuan dan tiang seri negara dan sebarang cubaan untuk menyamaratakan agama, membawa agenda pluralisme melampau atau memperlekeh institusi Islam atas tiket hak asasi atau kebebasan bersuara tidak akan diterima.
“UMNO akan menjadi benteng paling hadapan menentang sebarang dakyah untuk cuba merungkaikan kedudukan Islam di tanah air ini,” katanya.
Nnn
