KHAN YOUNIS – Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober lalu tidak menghalang Israel untuk terus mengebom penduduk Palestin apabila sekurang-kurangnya tiga penduduk terbunuh dan tiga lagi cedera.
Mereka terbunuh selepas khemah sebuah keluarga di kawasan al-Mawasi, Khan Younis, selatan Gaza, dibom oleh tentera Israel manakala salah seorang daripada mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal
Serangan ini berlaku ketika Israel meneruskan kempen ketenteraan di Gaza, walaupun perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, sekurang-kurangnya 425 rakyat Palestin terbunuh dan 1,206 lagi cedera sejak 11 Oktober.
Sementara itu dalam insiden berasingan, seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia 11 tahun, Hamsa Housou, terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan Jabalia, utara Gaza.
Ratusan ribu keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel kini berlindung di khemah-khemah sementara di seluruh Gaza.
Bagaimanapun, Israel terus menghalang kemasukan bekalan perlindungan ke wilayah itu, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan kemanusiaan memberi amaran bahawa rakyat Palestin sedang menderita di tengah-tengah ribut musim sejuk yang membawa maut.
Nn
