BANDARAYA GAZA – Hamas menyatakan kesediaan untuk memudahkan pemindahan tanggungjawab pentadbiran di Semenanjung Gaza kepada sebuah jawatankuasa bebas yang akan dibentuk.
Kumpulan itu juga menegaskan yang ia tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang pengaturan tadbir urus masa depan di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Hamas Hazem Qassem berkata kumpulan itu sedang menunggu pembentukan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyelia pentadbiran Gaza merangkumi pelbagai sektor, sambil menyatakan yang cadangan itu menerima sokongan Hamas serta beberapa puak Palestin lain.
Katanya, pergerakan itu akan memudahkan proses penyerahan dan menyokong kerja jawatankuasa berkenaan, sambil menegaskan yang Hamas sudah lama memutuskan untuk berada di luar sebarang rangka kerja pentadbiran bagi mengurus wilayah itu.
Kenyataan itu hasil keputusan yang diterima pakai pada sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Gaza pada Mac 2024, yang menolak sebarang bentuk pemindahan paksa rakyat Palestin serta menyokong pelan pembinaan semula Gaza oleh Mesir sebagai inisiatif Arab bersama.
Pelan itu membayangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran sementara untuk mentadbir Gaza sepanjang tempoh peralihan selama enam bulan.
Badan itu akan bersifat bebas, dianggotai teknokrat bukan berpuak dan beroperasi di bawah kuasa kerajaan Palestin, satu pengaturan yang disambut baik oleh Hamas pada ketika itu.
