ARAU 8 Jan. – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu dilantik membarisi barisan exco negeri itu termasuk dua yang digugurkan dari barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis setahun yang lalu.
ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak membuat kemunculan semula bersama ADUN Bersatu, Izizam Ibrahim (DUN Titi Tinggi) dan Marzita Mansor (DUN Sena).
Ini bermakna semua ADUN Bersatu yang menang pada pilihan raya umum lalu membentuk kerajaan termasuk menduduki kerusi Menteri Besar yang diduduki ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah.
DUN Perlis mempunyai 15 kerusi iaitu enam mewakili Pas selepas tiga lagi tergugur keahlian parti, lima ADUN Bersatu dan seorang mewakili PH.
Di bawah pentadbiran Menteri Besar Perlis yang baharu, tiada wakil Pas selepas parti itu memutuskan ADUN dari Pas Perlis tidak akan menyertai barisan exco kerajaan negeri yang baharu sebagai solidariti kepada perletakkan jawatan Menteri Besar sebelum ini, Mohd Shukri Ramli.
Walaupun tidak menyertai barisan exco kali ini, ADUN Pas Perlis termasuk Mohd Shukri kecuali ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil tetap hadir dalam Majlis Istiadat pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis itu.
Majlis angkat sumpah membabitkan empat ADUN Bersatu sekitar pukul 11.20 pagi itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau, di sini, selepas masing-masing menerima watikah pelantikan daripada baginda.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tiga ADUN Pas, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keanggotaan ADUN mereka sebelum ini tidak dijemput oleh pihak istana bagi majlis berkenaan.
Nnn
