PUTRAJAYA 8 Jan. – Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan pasport Malaysia dan MyKad berwajah baharu dengan reka bentuk dan ciri keselamatan baharu dalam dalam tempoh enam bulan lagi.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi memperkukuh tahap keselamatan dokumen berkenaan selaras perubahan teknologi dan keperluan semasa, termasuk membanteras pemalsuan MyKad.
Katanya, pelaksanaan ini antara pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.
Bercakap pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri di sini, hari ini, beliau bagaimanapun berkata rakyat tidak perlu berpusu-pusu memperbaharui pasport dan MyKad kerana ia masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh.
Ketika ini, pasport Malaysia berada di kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia, diukur berdasarkan tahap kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati pemegangnya.
Saifuddin berkata, beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Awang Alik Jeman semalam mengenai status kebolehpercayaan pasport Malaysia.
Beliau berkata, Awang Alik akan membantu memastikan semua prasyarat bagi mencapai sasaran mengeluarkan pasport dan kad pengenalan itu dapat dipenuhi mengikut garis masa ditetapkan.
“Selepas satu tempoh tertentu, kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkenalkan ciri baharu pada dokumen pengenalan diri yang lebih selamat dan relevan dengan peredaran zaman,” katanya.
