UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA 6 Jan. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal dan kekal dengan pendirian tidak akan melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan  sekarang ini.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu memang menjadi pendirian UMNO dan BN ketika memasuki kerjasama dengan PH sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada Disember 2022.

Katanya, ia antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik semalam iaitu cadangan daripada Ketua Pemuda UMNO,  Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu lalu untuk parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat berkenaan berhubung saranan Pemuda UMNO itu.

“Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

“…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata, UMNO tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Tanpa menyebut nama parti politik tertentu, Zahid berkata, UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak sama berulang kembali.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memuktamadkan nya lagi.

Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya diminta mengulas sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan Pas di bawah payung Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Dr Akmal sebelum ini menggesa untuk dihidupkan semula MN susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika itu.

Saranan Dr Akmal disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang dilaporkan berkata beliau sangat bersetuju dengan cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.

Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam.

Mengulas Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, Ahmad Zahid berkata, ia dilihat sebagai satu pengubah keadaan (game canger) supaya seseorang perdana menteri tidak terlalu lama berkuasa.

“Ini adalah satu ‘game changer’ yang pada hemat saya, kita tidak mahu supaya seseorang perdana menteri itu terlalu lama, ertinya ‘overstay his or her welcome’,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam amanat tahun baharunya semalam.

Anwar berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

NNnn

Related posts

Leave a Comment