TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) menangkap Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, dalam satu operasi ketenteraan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk di peringkat antarabangsa.
Dalam reaksi balas, Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez menegaskan, Maduro kekal sebagai “satu-satunya Presiden Venezuela” dan mengutuk serangan AS sebagai “pencerobohan bersenjata terhadap negara kami.”
“Di Venezuela, hanya ada satu Presiden dan namanya Nicolas Maduro,” katanya dalam siaran langsung televisyen negara sambil mengumumkan, Majlis Pertahanan Negara telah diaktifkan dan menyeru rakyat bertenang serta bersatu.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, yang mengesahkan telah diberi taklimat mengenai penangkapan itu mengkritik operasi tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan melanggar undang-undang.
“Menyerang sebuah negara berdaulat secara unilateral adalah satu tindakan perang dan pelanggaran undang-undang persekutuan serta antarabangsa,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha jelas untuk menukar rejim bukan sahaja memberi kesan kepada pihak luar, tetapi juga kepada penduduk New York, termasuk puluhan ribu warga Venezuela yang menetap di bandar itu.
Sementara itu, di Britain, Perdana Menteri Keir Starmer berkata, beliau akan terus berbincang dengan AS mengenai peralihan kepada demokrasi.
“Kami menganggap Maduro sebagai Presiden tidak sah dan kami tidak bersedih dengan berakhirnya rejim beliau,” tulisnya di X.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan Maduro telah “merosakkan maruah rakyatnya sendiri secara serius” dan berharap peralihan demokrasi dikendalikan oleh Edmundo González Urrutia, bekas calon Pilihan Raya Presiden 2024.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menegaskan “sebarang penyelesaian mesti menghormati undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.”
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyifatkan, serangan AS sebagai “penghinaan serius” terhadap kedaulatan Venezuela dan melangkaui “garis yang tidak boleh diterima.”
Cuba dan Mexico mengecam keras serangan tersebut, dengan Cuba menyifatkannya sebagai “jenayah” dan Mexico mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan AS.
Presiden Argentina Javier Milei, sekutu rapat Trump, menyambut baik penangkapan Maduro dengan mesej ringkas di X: “Kebebasan mara! Hidup kebebasan!”
Jurucakap Kementerian Luar China menyatakan Beijing “amat terkejut dan mengecam keras penggunaan kekerasan secara terang-terangan oleh AS terhadap sebuah negara berdaulat.”
(Foto FB)
Nnnn
