GAZA – Abu Obeida, atau nama sebenarnya Hudhayfa Samir al-Kahlout, jurucakap sayap bersenjata Hamas disahkan meninggal dunia beberapa bulan selepas Israel mengumumkan beliau terbunuh dalam satu serangan udara di Gaza.
Ezzedine al-Qassam Brigades dalam satu kenyataan video di saluran Telegramnya berkata: “Kami berhenti sejenak dengan penuh penghormatan terhadap…lelaki bertopeng yang dicintai jutaan orang…komander syahid agung dan jurucakap Briged Qassam, Abu Obeida.”
Israel sebelum ini mendakwa Abu Obeida terbunuh dalam satu serangan di Gaza pada 30 Ogos.
Sepanjang perang, Abu Obeida muncul sebagai tokoh utama yang dinantikan oleh penduduk Gaza, serta media Arab dan antarabangsa, bagi kenyataan rasmi sayap ketenteraan Hamas, khususnya berkaitan operasi pertukaran tahanan.
Dilahirkan 11 Februari 1985 dan dibesarkan di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, beliau menyertai Hamas sejak usia muda sebelum menjadi anggota Briged al-Qassam.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai satu-satunya jurucakap kumpulan itu, sering tampil dalam kenyataan video berseragam tentera dengan wajah sentiasa ditutup kain keffiyeh merah dan pernah menjadi sasaran beberapa cubaan pembunuhan oleh Israel.
Menurut pegawai Hamas, Abu Obeida melambangkan apa yang mereka sifatkan sebagai “penentangan” dan dikenali dengan ucapan berapi-api serta berimpak tinggi, termasuk ancaman terhadap Israel atau pengumuman operasi ketenteraan.
Dalam video pengumuman kematiannya, seorang lelaki bertopeng berpakaian gaya khas Abu Obeida berkata, beliau akan menggunakan nama pendahulunya bagi kenyataan akan datang, selain mengumumkan kematian empat lagi komander Hamas dalam serangan Israel semasa perang.
Nnn
