ADUN Bersatu MB Perlis Ke-9

ARAU 28 Dis. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di Istana Arau, di sini hari ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke-9 pada pukul 4.08 petang selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Serentak itu, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU negeri menjadi Menteri Besar pertama daripada Bersatu bagi Perlis.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu menggantikan ADUN Pas Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Menteri Besar pada Khamis lalu, keputusan yang menyusul selepas tiga ADUN Pas diberhentikan keahlian parti serta-merta.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu adalah Mohd Shukri serta semua ADUN PN dan ADUN Pakatan Harapan (PH) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Hadir sama, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Rahimi Ismail; Speaker DUN, Rus’ele Eizan dan Ketua Polis Perlis, Mohammad Abdul Halim.

Bagaimanapun ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad daripada PN tidak dapat hadir kerana berada di luar negeri atas urusan peribadi.

Sementara itu, tiga ADUN Pas, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keahlian mereka dalam parti itu tidak dijemput oleh pihak istana.

Rabu lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian ketiga-tiga mereka dalam parti itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Mereka dikenakan tindakan itu selepas didapati menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada Mohd Shukri.

Implikasi daripada situasi itu juga menyebabkan tiga kerusi DUN berkenaan diarah dikosongkan oleh Speaker DUN untuk memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

Nnn

Related posts

Leave a Comment