KANGAR 25 Dis. – Menteri Besar Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin negeri itu atas faktor kesihatan tetapi masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Beliau sebelum itu mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu memaklumkan, beliau diperkenankan untuk menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Wad DiRaja Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan menyatakan hasrat meletak jawatan berkenaan.
“Saya sudah mempersembahkan kepada Tuanku akan hasrat saya menerusi surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela berkuat kuasa hari ini. Peletakan jawatan ini dilakukan atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan akhir -akhir ini
Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini hari ini.
Katanya, beliau hanya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan masih kekal sebagai ADUN Sanglang, jawatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.
Perkembangan itu menyusul selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.
Berikutan itu, satu mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat diadakan dan, keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu digugurkan berkuat kuasa serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji.
Nnn
