Letak jawatan selaras lafaz bai’ah

SEPANG 25 Dis. – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada parti itu perlu meletakkan jawatan selaras lafaz bai’ah yang perlu dilafazkan sebelum dicalonkan parti pada pilihan raya, kata Naib Presiden Pas Idris Ahmad.

Idris menegaskan bai’ah itu dilafazkan secara sukarela dan penuh kesedaran tanpa sebarang paksaan dengan setiap calon memahami sepenuhnya ikrar yang dibuat.

“Calon Pas tidak perlu menandatangani perjanjian bersyarat seperti denda RM10 juta jika lompat parti atau seumpamanya. Cukuplah dengan lafaz bai’ah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau merujuk pengguguran keahlian Pas serta merta membabitkan ADUN Chuping, Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).

Idris turut melampirkan teks lafaz bai’ah dikeluarkan Majlis Syura Ulama Pas di mana   terkandung peruntukan berhubung kewajipan meletakkan jawatan sekiranya seseorang calon keluar atau dipecat daripada parti.

“Bahawa saya juga berbai’ah dan bersumpah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ untuk meletakkan jawatan daripada menjadi Ahli Dewan Negeri atau Dewan Rakyat atau Dewan Negara apabila saya keluar atau dipecat daripada parti.

Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini,” demikian petikan lafaz bai’ah berkenaan, yang menurut Idris dilafazkan oleh semua calon PAS secara sukarela ketika mereka memilih untuk bertanding.

Idris berkata jika ada yang memilih untuk melanggarnya, itu adalah urusan dirinya dengan prinsip dan nilai yang diikrarkan

Lafaz bai’ah Pas adalah ikrar atau sumpah setia yang dilafazkan oleh calon atau pemimpin parti sebagai tanda komitmen kepada Pas, perjuangan Islam serta prinsip yang ditetapkan.

Isu itu timbul susulan dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment