PUTRAJAYA 22 Dis. – Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober Tahun 2025 (DPT BLN10/2025) yang mengandungi 40,911 nama pemilih berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Oktober 2025 akan berakhir esok, 23 Disember.
DPT BLN10/2025 turut mengandungi 11,913 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,170 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
Jumlah pemilih baharu itu berkurangan berbanding 42,305 yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam tempoh 1 September hingga 30 September 2025 yang lalu.
Semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.
Sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN10/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.
Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN10/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218.
