KUALA LUMPUR 22 Dis. – Keputusan mengecewakan, namun Najib Razak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Titah Adendum tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi menjalani tahanan rumah.
Peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah, berkata walaupun keputusan itu mengecewakan pihak pembelaan, termasuk Najib, proses perundangan akan diteruskan mengikut saluran sewajarnya.
“Bagaimanapun, ini bukan penamat dan kami akan meneruskan proses perundangan dengan memfailkan rayuan,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terlebih dahulu mendapatkan alasan penghakiman bertulis sebelum memfailkan rayuan ke peringkat lebih tinggi.
“Kami perlu meneliti alasan penghakiman secara menyeluruh kerana terdapat isu undang-undang yang penting untuk dipertimbangkan. Selepas itu, kami akan mengambil langkah seterusnya melalui proses rayuan,” katanya.
Menurut beliau, langkah rayuan itu penting bagi mendapatkan kepastian undang-undang berhubung pelaksanaan Titah Adendum.
Katanya, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan Perlembagaan berkait kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengikut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kuasa berkenaan sebelum ini sudah diputuskan sebagai tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Ditanya sama ada terdapat cara lain untuk memboleh Najib dibebaskan dari penjara, Shafee secara berseloroh berkata: “Lari dari penjara.”
Bagaimanapun dalam nada serius kemudiannya, beliau berkata, pihaknya boleh membuat satu lagi permohonan pengampunan dan proses lain mengikut Seksyen 43 Akta Penjara, yang berkaitan dengan isu parol dan Pembebasan Banduan Secara lesen.
Shafee juga tidak menolak kemungkinan memohon pengampunan baharu daripada Yang di-Pertuan Agong semasa.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk melaksanakan Titah Adendum supaya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Beliau juga memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.
Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.
Beliau kini menjalani hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kes berprofil tinggi itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bekas Presiden UMNO itu telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Menurut kenyataan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
“Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029,” menurut Lembaga Pengampunan.
Dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.
Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.
Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana beliau memenangi rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.
Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan AGC dan mengarahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.
Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di sini yang telah mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan.
Nnnnn
