SEPANG 12 Dis . – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengemukakan 10 syor kepada Anwar Ibrahim, yang disifatkan beliau sebagai perkara nasional yang penting termasuk memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sepuluh syor itu terkandung dalam kenyataan lima muka surat bertarikh 8 Disember yang dihantar kepada Perdana Menteri dan dikongsikan menerusi Facebook Guan Eng, iaitu 10 hari selepas DAP kalah teruk pada PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November lalu.
Selain syor oleh Ahli Parlimen Bagan itu, ia turut disusuli dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menegaskan DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan, jika Perdana Menteri gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pada masa yang sama, media melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.
Guan Eng dalam surat kepada Perdana Menteri, meletak tajuk: ‘Menunaikan Janji Membela Hak Penyokong Pakatan Harapan (PH), Negeri Sabah dan Sarawak Serta Segera Melaksanakan Janji Manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)’.
“Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan memohon maaf atas ketidakhadiran saya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH minggu ini. Kini krisis keyakinan terhadap kerajaan dalam kalangan penyokong PH yang hanya boleh dipulihkan dengan penggubalan dasar-dasar kerajaan yang baharu yang menjaga kepentingan mereka tanpa merugikan manfaat mana-mana golongan rakyat Malaysia,” tulisnya.
Guan Eng, berkata, janji manifesto PH pada PRU15 perlu ditunaikan, dengan menegaskan: “Sebagai pemegang amanah kepada pengundi, tidak ada jalan lain kecuali jalan terus melaksanakan janji Manifesto PH dengan segera”.
Ia diikuti dengan syor kerajaan menyalurkan peruntukan 10 peratus kepada bukan Bumiputera berbanding peruntukan Bumiputera, tanpa menjejaskan jumlah asal atau tanpa membabitkan pengurangan peruntukan kepada Bumiputera.
“Memang wujud perasaan tidak puas hati bahawa peruntukan bukan Bumiputera tidak ditambah sebaliknya berkurangan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
“Adalah disyorkan sejumlah 10 peratus berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera diberikan kepada golongan bukan Bumiputera tanpa menjejaskan jumlah asal yang diperuntukkan kepada Bumiputera.
“Tidak ada sebarang bantahan daripada masyarakat bukan Bumiputera terhadap apa yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera, tetapi pemberian geran masa kini sebanyak 3 peratus kepada bukan Bumiputera berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera dalam belanjawan ataupun Rancangan Malaysia Ke-15 (RMK15) adalah terlalu kecil,” katanya..
Menurut beliau lagi, pemberian 10 peratus itu jauh ketinggalan berbanding dengan komposisi penduduk bukan Bumiputera di Malaysia sebanyak 30 peratus.
“Sekiranya telah pun ditetapkan jumlah peruntukan khas untuk golongan Bumiputera, hanya perlu tambah 10 peratus lagi untuk golongan bukan Bumiputera. Ini akan membantu usaha menyatupadukan dan membina negara yang boleh memastikan semua pihak dapat bahagian yang adil dan saksama,” katanya.
Perkara ketiga, kerajaan perlu melaksanakan pembekuan atau mengkaji semula peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perniagaan Malaysia.
Katanya , peranan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) dalam negara tidak boleh dinafikan dengan sumbangan 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ingin dinaikkan kepada 40 peratus menjelang 2030 dan menjana 48 peratus pekerjaan negara serta hampir 13 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
“Peluasan skop SST yang dilaksanakan pada 1 Julai 2025 telah menambah beban kos kepada perniagaan, terutama sekali PKS. Dengan pelaksanaan perang tarif oleh Amerika Syarikat, adalah perlu kerajaan bantu mengurangkan kos PKS. Peratusan cukai dan peluasan skop cukai SST ke atas perniagaan Malaysia harus dibekukan atau dikaji semula, khususnya sektor pembinaan, pendidikan dan sewaan,” katanya.
Beliau seterusnya mengesyorkan kerajaan mewajibkan pembelian 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan, selain mengenakan 10 peratus SST bagi bijih besi import dan tempatan, arang batu kok metalurgi, kok (imported and local iron ore, metallurgical coking coal, coke) serta pemansuhan SST ke atas besi buruk demi melindungi industri tempatan.
Masalah kurang perniagaan menjadi lebih rumit apabila pelabur dan kontraktor yang mendapat kerja atau projek dalam negara mendapat sumber barangan keperluan daripada negara yang menawarkan harga murah sehingga bawah kos pengeluaran.
Oleh itu, adalah perlu arahan pembelian sekurang-kurangnya 50 peratus barangan keperluan dari pengeluar tempatan diwajibkan untuk semua pelabur dan kontraktor.
Di samping itu, katanya, ada pelabur dari negara tertentu berjaya menggunakan status pengecualian cukai yang diberikan selama 15 tahun untuk menakluki dan menguasai industri keluli tempatan yang bernilai RM65 bilion setahun.
Penguasaan 85 peratus pasaran tempatan oleh syarikat asing adalah bersandarkan semata-mata manfaat pengecualian cukai 15 tahun yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.
“Kini hanya tinggal dua syarikat keluli Malaysia. Demi melindungi kepentingan tempatan, adalah perlu cukai SST dikenakan untuk memastikan level playing field di antara pesaing asing dan tempatan dalam industri keluli. Di samping itu, cukai SST terbabit boleh menggalakkan penggunaan proses yang mesra alam sekitar dan bukan sebaliknya dalam industri keluli tempatan,” katanya.
Perkara kelima, mengesyorkan kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026 kerana keputusan menambah peruntukan bayaran balik cukai tertunggak daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion seperti diumumkan baru-baru ini, walaupun dialu-alukan, disifatkannya belum cukup kerana masalah bayaran cukai tertunggak adalah dalam lingkungan puluhan bilion ringgit.
Guan Eng seterusnya menyarankan pembekuan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan majikan mereka yang dilihatnya membebankan, selain tidak mengenakan cukai dua peratus pendapatan dividen yang melebihi RM100,000 ke atas syarikat yang bukan entiti tersenarai dalam Bursa Malaysia atau perniagaan rakan kongsi.
Syor ketujuh, pemansuhan penalti RM10,000 mengikut Seksyen 45F Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dalam Dewan Negara juga perlu dilakukan ke atas kegagalan majikan memaklumkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebarang kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu.
Beliau juga mengesyorkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah mesti diselesaikan dalam masa singkat dan hak Sarawak mesti terus dijaga kerana isu tuntutan hasil Sabah menjadi salah satu isu utama dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah baru-baru ini.
Sehubungan itu, tegasnya, isu berkenaan mesti diselesaikan dan bayaran balik wang dibuat dalam masa singkat agar tidak dilihat sebagai sengaja dilengah-lengahkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Perkara kesembilan, kerajaan perlu mengkaji mengecualikan PKS daripada e-invois sementara menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta
“Tuntutan rakyat ialah mengecualikan PKS daripada pelaksanaan e-invois dan semasa kajian dijalankan, langkah sementara ialah menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta. Ini harus disegerakan kerana peraturan e-invois akan dikuatkuasakan untuk hasil tahunan perniagaan antara RM1 juta ke RM5 juta mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Cadangan kesepuluh ialah penubuhan tribunal pembayar cukai individu dan PKS seperti tribunal pengguna bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
Beliau mendakwa pembayar cukai individu dan PKS sering membuat aduan bahawa mereka ditekan oleh penilaian taksiran yang tidak munasabah oleh Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN). Mereka rasa tidak bermaya kerana tidak mampu melawan LHDN dengan kos guaman yang begitu tinggi.
“Sungguhpun usaha LHDN menambah hasil untuk negara memang dihargai, ia perlu juga diseimbangkan dengan tindakan munasabah agar tidak berlaku akaun bank dibekukan dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu satu tribunal pembayar cukai Individu dan PKS harus ditubuhkan untuk memastikan rule of law dan keadilan diberikan kepada semua pihak,” katanya.
Nnnn
