BN, Pas pernah beri komitmen iktiraf UEC

SEPANG 11 Dis. – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengecam kenyataan pemimpin Pemuda UMNO dan Pas yang senada dalam menafikan segala usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sedangkan ia bukannya perkara baharu.

Naib Ketua DAPSY Kebangsaan S. Liinesh dalam kenyataannya berkata,isu pengiktirafan UEC bukan agenda baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan, malahan bukan janji Pakatan Harapan (PH) semata-mata.

“Hakikatnya, agenda pengiktirafan UEC pernah termaktub dalam manifesto rasmi Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh mantan Pengerusi BN ketika itu, iaitu Najib Razak dan juga dalam manifesto Buku Jingga yang merangkumi Pas ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa mantan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan juga Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membuat komitmen tersebut “tidak memahami” dasar pendidikan negara.

Menurut Liinesh, , susulan daripada sokongan terbuka BN dan Pas terhadap pengiktirafan UEC sebelum ini, isu ini tidak wajar dijadikan bahan politik.

Katanya, pengiktirafan UEC hanyalah salah satu bab kecil daripada agenda reformasi dan Kerajaan Perpaduan perlu berpegang kepada manifesto pilihan raya serta tidak membiarkan kenyataan bermotifkan kepentingan politik sempit untuk membantutkan proses reformasi.

Pemimpin muda DAP itu juga menarik perhatian bahawa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah mengiktiraf UEC, malahan membenarkan pemegang UEC memohon biasiswa negeri serta memasuki universiti di bawah naungan kerajaan negeri.

“Fakta demi fakta membuktikan pengiktirafan UEC sebagai sebahagian dalam sistem pendidikan negara adalah praktikal dan sesuai,” katanya sambil bertanya adakah Akmal dan Pemuda Pas ingin mengecam rakyat, Kerajaan Sabah dan Sarawak kerana kononnya tidak memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Beliau juga menyifatkan kenyataan Akmal bahawa kewujudan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina bertentangan dengan sistem pendidikan negara adalah
cubaan untuk mengeruhkan keadaan pada peringkat awal perbincangan dan membantutkan usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi.

Dalam pada itu, beliau mencabar Akmal menggerakkan semula “skuad polis moral” yang pernah diketuainya ke Pulau Pinang sebelum ini (dipercayai isu Jalur Gemilang) jika benar-benar menganggap pengiktirafan UEC sebagai suatu dosa besar,

“Cuma untuk kali ini, Akmal harus berkumpul di depan Penjara Kajang untuk “mendidik” Bossku sendiri demi memperbetulkan kesilapan dahulu. Pemuda Pas juga boleh membuat perhimpunan di depan pejabat Ahli Parlimen Marang (Hadi),” katanya.

Beliau juga berkata, dwi-standard dan hipokrit yang ditunjukkan oleh Akmal dan Hafez membuktikan bahawa pemahaman mereka mengenai sistem kemasukan universiti amat dangkal dan cetek.

Katanya, sejak sekian lama universiti-universiti awam Malaysia telah menerima kelayakan A-Level, meskipun A-Level tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan majoriti pelajarnya juga bukan daripada sekolah kerajaan.

“Jika A-Level yang berstatus antarabangsa boleh diterima oleh universiti awam, kenapakah dasar pendidikan negara boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghalang pengiktirafan UEC?,” katanya

Beliau menyeru agar semua pihak berbincang secara tenang, profesional dan berasaskan fakta supaya Kerajaan Perpaduan akhirnya dapat membuka lembaran baharu dalam proses reformasi pendidikan negara.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment