Fahami dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan

SEPANG 11 Dis.  – Pemuda UMNO mengingatkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum meminta kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara itu apabila UEC tidak menepati aspek penting dalam dasar berkenaan.

Katanya, sebagai seorang menteri Kabinet, Kor Ming seharusnya lebih mengetahui dan memahami intipati dasar negara itu.

“Dasar Pendidikan Negara ini ada tiga, iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, mesti menggunakan kurikulum yang sama berorientasikan negara dan ketiga menduduki sistem peperiksaan yang sama, seperti SPM, STPM.

Untuk makluman Kor Ming, UEC ini tidak langsung menepati ketiga-tiga dasar tersebut dan bagaimana kita hendak iktiraf?” katanya menerusi hantaran video di Facebook semalam.

Muhamad Akmal berkata, di dunia ini termasuk Singapura, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai sekolah vernakular dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Kita sudah memberi kelonggaran kepada UEC sejak 1975 untuk dilaksanakan di sekolah swasta oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sewaktu Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan sama, sijil UEC ini boleh diterima pakai untuk masuk ke IPTS dan kerajaan membenarkan lulusan UEC diterima masuk dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Cina di bawah IPG, Kementerian Pendidikan ketika itu.

“Pada tahun 2019, UEC diiktiraf untuk peperiksaan PSAG (Sijil Amalan Guaman) yang mana kenyataan telah dikeluarkan oleh Peguam Negara ketika itu,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf UEC tersebut.

“Kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, jangan lakukan kerana selagi UEC ini tidak menepati dasar pendidikan negara.

“Saya minta tiada keperluan untuk kita mengiktiraf UEC dan kita tidak akan berkompromi untuk kerajaan mengiktiraf UEC ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kor Ming akan berjumpa dengan Anwar untuk meminta UEC diiktiraf sambil mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan tidak khuatir.

Nnn

Related posts

Leave a Comment