IPOH 11 Dis. – Sebanyak 14 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak tampil menjelaskan mereka tidak terlibat dengan desakan agar Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan presiden semalam.
Dalam satu kenyataan bersama, Ketua-ketua Bahagian Bersatu negeri menjelaskan! desakan itu yang dikatakan mewakili 14 bahagian Bersatu itu tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan parti negeri.
Semakan kehadiran juga mendapati, hanya sembilan ketua bahagian terlibat dalam sidang media diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Zainol Fadzi Paharudin manakala selebihnya bukan pemegang jawatan ketua bahagian.
“Oleh yang demikian, kehadiran mereka adalah atas kapasiti peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian kolektif kepimpinan bahagian di Perak,” kata kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan laporan media berhubung desakan 14 bahagian Bersatu Perak yang mahu Muhyiddin berundur atas alasan kegagalan dalam menangani kemelut dalaman yang melanda parti ketika ini.
Kenyataan sama itu berkata, tindakan membawa isu dalaman parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar serta bercanggah dengan disiplin parti.
Justeru mereka yang menandatangani kenyataan tersebut turut menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu serta komited memperkukuhkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Kenyataan hari ini turut disokong Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun).
Ketua bahagian lain adalah Batu Gajah, Ipoh Barat, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Tanjong Malim, Taiping, Lenggong, Lumut, Parit Buntar, Sungai Siput, Gerik, Beruas dan Parit.
Kenyataan itu juga menegaskan, sebagai ahli MPT Bersatu, Zainol Fadzi seharusnya membawa sebarang pandangan atau perbezaan pendirian melalui Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Tindakan membawa isu parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi dan bercanggah dengan disiplin Bersatu.
“Kami turut berpandangan tindakan tersebut menjejaskan imej parti dan memberi persepsi tidak tepat mengenai kestabilan serta kesepaduan kepimpinan Bersatu di Perak. Keadaan ini hanya menguntungkan pihak lawan,” kata kenyataan itu.
Nnnnn
