WASHINGTON – Presiden Donald Trump, mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$12 bilion bagi membantu petani yang terjejas akibat dasar tarif perdagangan yang dikenakan oleh pentadbirannya terhadap beberapa negara, termasuk China dan Kesatuan Eropah.
Langkah ini diumumkan ketika kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan komuniti pertanian Amerika Syarikat (AS), yang menjadi antara sektor paling terkesan akibat perang dagang berpanjangan
Harga komoditi utama seperti soya, jagung dan kapas telah merosot, manakala eksport ke pasaran luar negara mengalami penyusutan ketara.
Wall Street Journal melaporkan pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk menggunakan hasil kutipan tarif sebagai sumber pembiayaan utama bagi pakej bantuan ini.
Dana tersebut dijangka diagihkan dalam beberapa bulan akan datang melalui pelbagai saluran termasuk subsidi langsung, pembelian hasil pertanian oleh kerajaan, dan program promosi eksport.
“Petani kita adalah patriot sejati yang telah menanggung beban akibat ketegangan perdagangan ini. Kini tiba masanya kerajaan membantu mereka,” kata Trump dalam satu kenyataan di White House.
Namun, pengumuman ini turut mencetuskan reaksi bercampur daripada ahli politik dan kumpulan industri.
Sesetengah pihak menyambut baik langkah itu sebagai kelegaan sementara, manakala yang lain mengkritik ia sebagai penyelesaian jangka pendek yang tidak menangani punca sebenar masalah, iaitu dasar tarif yang agresif.
Penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa pakej bantuan ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung kerugian jangka panjang, terutamanya jika perang dagang berterusan.
Mereka juga mempersoalkan keberkesanan penggunaan dana tarif, yang pada asalnya bertujuan melindungi industri domestik.
Nnn
