SEPANG 9 Dis. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik balik surat sokongan dan menyenarai hitam syarikat Srikandi Wawasan Enterprise selama tiga tahun susulan beberapa pelanggaran serius terhadap syarat surat sokongan itu dalam penganjuran program Temasya Kesenian dan Kebudayaan Asia Tenggara.
Dalam kenyataannya, MOTAC menjelaskan, surat sokongan itu dikeluarkan bagi membolehkan penaja program layak menerima potongan cukai di bawah perenggan 34(6)(k) Akta Cukai Pendapatan sebagai insentif menyokong penganjuran program seni, budaya atau warisan.
Tindakan itu dibuat selepas MOTAC menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden yang tular pada 24 Oktober lalu membabitkan seramai 61 pelajar sekolah dari Malaysia yang terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia di bawah pengurusan syarikat berkenaan.
Ia selaras dengan komitmen MOTAC memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua proses yang membabitkan sokongan dan insentif di bawah kementerian.
Sehubungan itu, MOTAC mengingatkan mana-mana pihak adalah dilarang menggunakan atau merujuk surat sokongan berkenaan bagi sebarang urusan selepas tarikh kenyataan ini.
“MOTAC tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi yang timbul daripada penggunaan dokumen yang terbatal,” kata kenyataan itu.
Pada 24 Oktober lalu, dilaporkan 61 pelajar dari SMK Bukit Kapar dan SK Taman Selasih terkandas lebih tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akibat masalah pengurusan ejen pelancongan.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia dilaporkan berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pihak kedutaan terus mengambil tindakan pantas dengan menempatkan semua pelajar berkenaan di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang dengan bantuan ejen pelancongan tempatan yang juga rakyat Malaysia.
Susulan itu, kerajaan Selangor bersedia membawa pulang semua pelajar berkenaan.
Mengulas lanjut, MOTAC berkata penarikan balik surat sokongan itu dibuat selepas mendapati penganjur menukar tujuan asal program seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan iaitu daripada persembahan kebudayaan kepada lawatan pelancongan tanpa memaklumkan kepada pihak kementerian.
Mereka juga gagal menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta jadual perjalanan yang jelas sehingga peserta terkandas tanpa bantuan sewajarnya, menyebabkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terpaksa campur tangan.
Tindakan ini menurut MOTAC menunjukkan kecuaian serius pihak syarikat dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) keselamatan serta garis panduan pengurusan program di luar negara.
Kenyataan itu turut menjelaskan penganjur turut mengeluarkan dakwaan mengelirukan dengan menyatakan penari di bawah MOTAC turut bersama dalam program berkenaan sedangkan mereka adalah penari bebas.
Perbuatan ini menimbulkan salah tanggapan kepada peserta dan penaja serta bercanggah dengan prinsip integriti, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran awam.
Liputan media di Malaysia dan Indonesia turut mengaitkan MOTAC secara tidak langsung dengan program itu.
Kegagalan penganjur menjaga reputasi kementerian menjejaskan kredibiliti MOTAC sebagai institusi kerajaan yang profesional dan bertanggungjawab.
Tambahnya, MOTAC sentiasa mengalukan kerjasama syarikat mahupun dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa seni, budaya dan warisan negara.
