GENEVA – Tahun 2024 merekodkan suhu paling panas di rantau Arab, meningkat dua kali ganda lebih cepat daripada purata global, demikian menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).
Cuaca ekstrem itu menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi yang semakin meningkat.
“Tahun 2024 adalah yang paling panas dalam rekod bagi rantau Arab – kesinambungan trend jangka panjang.
“Suhu meningkat dua kali ganda daripada purata global, dengan gelombang haba yang ekstrem menekan masyarakat ke tahap maksimum.
“Kesihatan manusia, ekosistem dan ekonomi tidak mampu bertahan dalam tempoh berpanjangan dengan suhu lebih 50 darjah Celsius. Ia terlalu panas untuk ditanggung,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo.
Laporan pertama ‘Keadaan Iklim di Rantau Arab’ (State of the Climate in the Arab Region) dikeluarkan WMO, menyatakan kadar pemanasan meningkat lebih cepat dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Katanya, ia sekali gus mendorong gelombang haba lebih lama dan lebih ekstrem, kemarau teruk serta kejadian hujan yang merosakkan.
Ancaman berkenaan memburukkan lagi cabaran sedia ada, termasuk pembandaran pesat, konflik, kemiskinan serta pertumbuhan penduduk, di satu daripada rantau paling kekurangan air di dunia itu.
Laporan dihasilkan dengan kerjasama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia Barat serta Liga Arab itu bertujuan menyokong proses membuat keputusan di rantau berkenaan yang terdiri daripada 15 negara.
Pada tahun lalu, purata suhu rantau berkenaan ialah 1.08 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata 1991-2020, dengan beberapa negara melepasi paras 50 darjah Celsius.
Menurut laporan itu lagi, kemarau bertambah buruk di barat Afrika Utara selepas enam musim hujan yang gagal, manakala hujan lebat dan banjir kilat melanda negara-negara gersang termasuk Arab Saudi, Bahrain serta Emiriah Arab Bersatu.
Hampir 3.8 juta orang terjejas akibat kejadian ekstrem pada 2024 yang mengakibatkan lebih 300 kematian, kebanyakannya akibat gelombang haba dan banjir.
Laporan itu turut menyatakan sistem amaran awal pelbagai bahaya kini meliputi hampir 60 peratus negara Arab – melebihi purata global – tetapi masih belum mencukupi.
Nnnn
