JAKARTA – Pada tengah malam menjelang tahun baharu 2026, Indonesia akan mengisytiharkan status mampu diri bagi komoditi strategik seperti beras dan jagung, selaras sasaran nasional.
Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman berkata, sasaran mampu diri itu dapat dicapai berikutan peningkatan pengeluaran nasional dan pengagihan makanan yang semakin stabil.
Katanya, ia sekali gus memastikan keselamatan makanan Indonesia berada pada tahap kukuh dan terjamin.
Menurut Andi Amran, rizab beras kerajaan (CBP) ketika ini mencecah jumlah 3.8 juta tan – tertinggi dalam sejarah – dan dianggarkan kekal stabil sekitar 3.7 juta tan hingga akhir tahun.
Beliau berkata, paras stok yang tinggi itu menandakan satu pencapaian penting kerana ia menunjukkan produktiviti petani yang konsisten dan meningkat serta kejayaan program strategi makanan nasional.
Selain itu, katanya, stok berkenaan yang kini disimpan di gudang firma logistik milik negara, Bulog, adalah sepenuhnya bersumber daripada petani Indonesia, sekali gus menunjukkan kemampuan Indonesia mengekalkan rizab tanpa bergantung pada import.
Sebelum ini, Statistik Indonesia (BPS) melaporkan pengeluaran beras negara dari Januari hingga Disember 2025 dijangka mencecah 34.79 juta tan, meningkat 4.17 juta tan atau 13.6 peratus berbanding 2024 tahun ke tahun.
Sebahagian besar potensi peningkatan itu dipacu oleh kenaikan 26.54 peratus dalam pengeluaran yang direkodkan dari Januari hingga April 2025.
Potensi penuaian tertinggi dijangka berlaku di Pulau Jawa, khususnya di Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah manakala di Sumatera, wilayah berpotensi termasuk Lampung, Aceh, Sumatera Selatan, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Potensi ketara juga dilihat di Sulawesi Selatan, Sulawesi Tengah, Nusa Tenggara Barat, Nusa Tenggara Timur dan Kalimantan Barat.
Nnn
