Israel sekat kemasukan trak bantuan

GAZA – Hampir 6,000 trak bantuan yang membawa makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas masih ditahan di sempadan berikutan tindakan Israel terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) jumlah itu cukup untuk menyokong penduduk Gaza selama tiga bulan.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober lalu, Israel sepatutnya membenarkan 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari.

Namun, menurut pegawai media kerajaan Gaza, hanya sekitar 200 trak dibenarkan masuk, kurang satu pertiga daripada jumlah yang dijanjikan.

Dalam pada itu, UNICEF turut memberi amaran bahawa sekatan berterusan ini telah menyebabkan lebih 9,000 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat makanan akut, dengan risiko kematian meningkat menjelang musim sejuk.

Israel mempertahankan tindakannya dengan mendakwa Hamas gagal memenuhi syarat perjanjian, termasuk menyerahkan semua mayat tebusan yang terbunuh dalam konflik terdahulu.

Related posts

Leave a Comment