Pas nafi jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM 19 Okt. – Pas menafikan laporan berita sebuah media tempatan yang memaklumkan bahawa parti tersebut akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presidennya,  Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaporan berita tersebut jauh berbeza dari konteks ucapan beliau sewaktu perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas semalam, Rabu.

“Saya merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh NST bertarikh 19 Oktober 2023 yang bertajuk “Pas Muktamar: ‘Party will be part of unity govt’ (Parti (Pas) akan menjadi sebahagian dari Kerajaan Perpaduan”.

“Di awal pelaporan berita, dinyatakan ‘Pas has expressed its confidence in being part of the federal government, after Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s reported invitation to the Islamist party.’

Pelaporan berita ini sangat jauh dari konteks ucapan saya dalam perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa, Pas menghormati dan berpegang teguh dengan permuafakatan politik bersama rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN

Katanya, Pas menolak pelawaan menjadi komponen Kerajaan Madani dengan asas istiqamah bersetia kawan serta tidak akan mengkhianati janji kepada pengundi Pas-PN dan tidak akan bergabung dengan DAP dan Anwar Ibrahim pasca PRU-15.

“Keputusan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri jelas bahawa rakyat bersama Pas dan PN,” kata Tuan Ibrahim yang turut menyeru agar etika kewartawanan dipelihara supaya setiap berita dilaporkan dengan telus dan tepat.

Related posts

Leave a Comment