KOTA KINABALU 30 Nov. – Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya berminat bekerjasama dengan parti tempatan, yang takrifannya mengenai parti tempatan bukan sekadar pada nama, tetapi pada perjuangan sebenar untuk rakyat Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak mahu menenangkan diri dengan mengatakan Warisan harus berada dalam kerajaan semasa kerana perkara itu bukan mudah.
“Tetapi adakah kita masih mampu memenuhi keperluan rakyat Sabah” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini selepas Warisan memperoleh 25 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai sebuah parti tunggal.
Bagaimanapun, untuk membentuk kerajaan, perlu ada majoriti mudah sekurang-kurangnya dengan 37 kerusi.
Ditanya sama ada Warisan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai 29 kerusi, Mohd Shafie berkata, walaupun beliau menyatakan minat untuk bekerjasama dengan parti tempatan, ia tidak semestinya merujuk kepada GRS.
“GRS membabitkan gabungan parti tempatan yang mereka dakwa sebagai majoriti, tetapi seperti yang anda lihat, ia bukan majoriti mutlak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berterima kasih kepada pengundi Cina dan rakyat Sabah kerana memperkukuhkan kedudukan parti itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17).
Beliau menyifatkan sokongan kuat masyarakat Cina terhadap Warisan sebagai tanda keyakinan terhadap parti berasaskan Sabah sepenuhnya itu.
Katanya, calon Warisan turut menyumbang kepada kekalahan semua lapan kerusi DAP Sabah yang ditandingi pada PRN17.
“Warisan menang di kawasan Likas, Luyang, Kapayan, Tanjung Aru, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjung Papat. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Cina dan rakyat Sabah atas kepercayaan yang diberikan.
“Yakinlah, kepercayaan dan keyakinan yang diberi kepada kami sebagai parti Sabah, sebagai pemimpin Sabah, akan saya pertahankan. Saya akan mengekalkan kepercayaan itu,” katanya.
Mohd Shafie berkata, Warisan akan terus teguh menyuarakan aspirasi rakyat Sabah terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) peringkat Parlimen yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Kami tidak mahu kehilangan keyakinan mereka kerana kami percaya PRU tidak lama lagi. Suara kita mesti didengar di Parlimen, bukan suara parti Semenanjung, tetapi suara rakyat Sabah,” katanya.
Mohd Shafie berkata, walaupun Warisan memperjuangkan autonomi Sabah dan kepemimpinan tempatan, kerjasama dengan parti peringkat Persekutuan masih diperlukan.
“Siapapun yang membentuk Kerajaan Persekutuan, kami menyokong mereka, malah sekarang pun kami menyokong mereka. Itu tidak bermakna kami menolak kerjasama pada peringkat nasional,” katanya.
Nnn
