Komitmen STARSABAH sokong kerajaan GRS

KOTA KINABALU 30 Nov. – Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) yang meninggalkan  Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menjelang pilihan raya baru-baru ini menyatakan komitmen menyokong Ketua Menteri,  Hajiji Noor

Presidennya,  Dr. Jeffrey Kitingan berkata, STARSABAH akan menyumbang secara konstruktif kepada agenda kerajaan bagi pembangunan, kestabilan serta kemajuan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Sabah berhak mendapat sebuah kerajaan yang saling bekerjasama, khususnya dalam perkara berkaitan hak Perlembagaan dan kedaulatan jangka panjang.

“STARSABAH mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas pelantikan semula sebagai Ketua Menteri.

Rakyat telah bersuara, dan kami menerima keputusan itu dengan penuh hormat.

Proses demokrasi sekali lagi mencerminkan suara dan aspirasi rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

“STARSABAH juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyokong di seluruh negeri, khususnya pengundi di Tambunan dan Bingkor kerana sekali lagi menaruh kepercayaan kepada kepimpinan serta calon kami.

Kepercayaan diberikan mengukuhkan lagi iltizam kami untuk terus berkhidmat kepada Sabah dengan penuh integriti dan kesungguhan,” katanya.

Jeffrey berkata, STARSABAH juga mengulangi komitmen untuk merealisasikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, memandangkan rundingan itu hanya boleh dijalankan secara kerajaan dengan kerajaan, maka adalah penting untuk Sabah mempunyai suara lantang dan berprinsip dalam proses berkenaan.

“Perjuangan itu sentiasa menjadi teras STARSABAH dan kami bersedia menyokong sebarang usaha ikhlas serta berani bagi menuntut apa yang sememangnya menjadi hak Sabah,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment