KUALA LUMPUR 26 Nov. – Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau selama ini.
Perdana Menteri pada masa yang sama juga menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
“Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau,” kata Perdana Menteri melalui satu kenyataan, hari ini.
Berhubung tuduhan yang timbul, Anwar menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” tambahnya.
Semalam, Shamsul Iskandar menerusi perkongsian di platform X, mengumumkan beliau meletak jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dengan surat mengenainya sudah diserahkan kepada Anwar.
Tindakan itu diambil enam hari selepas Perdana Menteri membuat teguran keras kepada pegawai kanannya itu kerana mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.
Dalam hantaran semalam, Shamsul Iskandar berkata, keputusan itu diambil susulan wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh menjejaskan imej kerajaan MADANI.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Keputusan beliau itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital yang tular baru-baru ini.
Ketika di Dewan Rakyat pada 18 November lalu, Anwar menegaskan sudah menegur tindakan itu dan menjelaskan, peraturan serta prinsip kerajaan tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bagaimanapun menyarankan Shamsul dipecat bukan sekadar teguran keras.
Pembangkang sebelum itu mendakwa Shamsul Iskandar mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Nnnn
