KUALA LUMPUR 25 Nov. – Dua Ahli Parlimen PH dan PN diarah keluar daripada Dewan Rakyat selama setengah jam selepas mereka bertengkar dan saling menuding jari mengenai kenyataan fitnah.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau mengarahkan Awang Hashim (PN-Pendang) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) keluar Dewan selepas kedua-duanya terus bertikam lidah berhubung isu itu.
Semuanya bermula apabila Mohd Sany bangun mencelah ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Mohd Sany mencelah perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), dengan bertanya sama ada Ahli Parlimen yang sering menabur fitnah perlu diberikan kaunseling dan motivasi, sambil menyebut nama Awang dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Awang kemudian bangun dan menafikan dakwaan itu, selain mendakwa Mohd Sany yang sering melemparkan fitnah kepada pembangkang.
“Dia yang fitnah tapi dia lemparkan tuduhan memfitnah kepada kita. Dia selalu fitnah kita macam-macam tapi dia tidak bagi satu pun yang spesifik dan siapa yang fitnah dia.
“Bila dia mula menyerang kita, kita serang balik. Dia tidak tahan dan mengadu kepada Speaker untuk buat usul,” katanya.
Pertikaman lidah kemudian berlaku antara kedua-dua Ahli Parlimen sehingga Alice terpaksa meminta Bentara Dewan Rakyat untuk membawa mereka keluar daripada Dewan.
“Pendang dan Hulu Selangor, keluar sekejap…. setengah jam,” katanya dan mengingatkan mereka supaya tidak lagi mengajak untuk bertumbuk di dalam Dewan dan menabur fitnah.
Awang bagaimanapun kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya kerana mahu berbahas, namun tidak dibenarkan Alice.
Nnnn
