SPR nafi pantau calon tertentu

KOTA KINABALU 23 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan yang mengatakan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) memberi tumpuan khusus atau menyasarkan parti mahupun pihak tertentu sahaja.

Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, berkata aduan pengawasan luar biasa terhadap calon atau parti tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah tidak benar.

“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan disarankan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan terhadap sebarang salah laku, kecurigaan atau sebarang aduan tentang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata SPR sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Sabah untuk terus mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang proses itu berlangsung bagi memastikan keamanan dan integriti pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan

Beliau bekata, PPKPR ditubuhkan sebagai mana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertujuan memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.

Katanya, pasukan penguat kuasa tersebut akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan Junz Wong mempersoalkan tindakan SPR yang didakwanya menekan kempen parti itu dengan mengenakan sekatan ke atas amalan kempen rutin yang sebelum ini dibenarkan.

Katanya, sepanjang 18 tahun berkecimpung di arena politik beliau belum pernah melihat SPR ‘berkelakuan’ seperti itu.

“Pegawai SPR ekori calon-calon kami dengan kamera ke mana-mana, rakam segalanya. Malah, mereka nasihati calon kami agar tidak terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai.

“Ini kali pertama dalam hidup saya pilihan raya terasa begini. Terasa pelik. Ke mana sahaja kami pergi, mereka ada,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Beliau memberi contoh satu insiden di Hilltop di mana pegawai SPR didakwa cuba menghentikan ceramah parti itu atas alasan calon Warisan Likas tidak dibenarkan berucap di Luyang.

“Jadi saya tanya, bagaimana pula dengan (calon DAP) Datuk Phoong Jin Zhe? Beliau calon Likas tetapi ada juga berucap di Sandakan dan Tawau.

“Apabila kami minta SPR menjelaskan mengenai peraturan tersebut, mereka gagal tunjuk sebarang bukti hitam putih. Akhirnya, mereka benarkan kami teruskan program,” katanya.

Junz juga mendakwa SPR turut menghalang calon Warisan daripada makan bersama-sama penduduk kampung, walaupun ia dibenarkan sebelum ini.

Juzn yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Tanjung Aru bagi penggal ketiga berkata, Warisan tidak membantah peraturan tersebut, sebaliknya mempersoalkan penguatkuasaan yang tidak saksama.

“Kami hanya mahu SPR kuat kuasa peraturan secara adil bagi semua pihak, bukan hanya kami,” katanya yang tidak menyalahkan mana-mana pegawai kerana mereka hanya menurut perintah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment