Kecam penahanan pengarah hospital Al-Shifa

SEMENANJUNG GAZA: Hamas mengecam penahanan Pengarah Hospital Al-Shifa Mohammad Abu Salmiya, serta pegawai perubatan lain, selepas tentera Israel bertindak menyerbu hospital itu minggu lalu.

Berikutan itu, Hamas menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan organisasi antarabangsa lain berusaha ke arah ‘pembebasan segera’ mereka.

Sabtu lalu, arahan dikeluarkan untuk mengosongkan hospital dikeluarkan mengakibatkan ratusan pesakit dipindahkan ke selatan wilayah Palestin yang dikatakan lebih selamat.

Menurut laporan media, Salmiya sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menerima arahan pemindahan daripada tentera Israel selepas menolak arahan sebelumnya manakala tentera Israel pula mengatakan pemindahan itu dilakukan atas ‘permintaan’ Salmiya.

Tentera mengeluarkan rakaman audio yang mendedahkan perbualan antara Salmiya dan seorang pegawai kanan Israel di mana kedua-duanya menyalahkan satu sama lain untuk arahan pengosongan.

Semalam Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, pihaknya bergabung tenaga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memindahkan 190 lagi orang yang cedera dan sedang dirawat, rakan mereka dan kakitangan perubatan dari Al-Shifa ke hospital lain di selatan Semenanjung Gaza.

Pemindahan mengambil masa hampir 20 jam berikutan kelewatan di pusat pemeriksaan yang memisahkan utara dan selatan Gaza, di mana tiga paramedik ditahan, dengan dua daripadanya kemudiannya dibebaskan.

Tentera Israel juga mengiringi wartawan ke syaf terowong di kompleks hospital yang didakwa mereka sebahagian daripada rangkaian bawah tanah yang luas digunakan Hamas.

Pegawai Israel mendakwa Hamas mengendalikan pusat arahan dalam terowong di bawah hospital selama bertahun-tahun namun tuduhan itu dinafikan gerakan Islam dan kakitangan perubatan.

Related posts

Leave a Comment