Jenayah perang, paksa penduduk pindah

HAMILTON (Kanada) – Human Rights Watch (HRW) melaporkan , pasukan Israel telah memaksa puluhan ribu penduduk Palestin berpindah dari tiga kem pelarian di utara Tebing Barat yang diduduki pada Januari lalu, dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang disifatkan sebagai “jenayah perang.”

Laporan itu meneliti “Operasi Iron Wall,” iaitu operasi ketenteraan berskala besar Israel yang bermula di kem pelarian Jenin pada 21 Januari sebelum diperluaskan ke kem Tulkarem dan Nur Shams serta beberapa kawasan lain di utara Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut HRW, operasi itu telah mengosongkan kem-kem yang menempatkan kira-kira 32,000 orang, menjadikannya pemindahan terbesar rakyat Palestin di Tebing Barat sejak 1967.

Laporan itu menyebut, seorang penduduk yang dipindahkan, Nadim M., 60, bapa kepada empat anak memberitahu HRW bahawa tentera Israel “mengikat tangannya menggunakan tali zip, menggeledah kediamannya dan kemudian mengarahkan dia serta keluarganya keluar, sambil memberi amaran bahawa jika mereka bergerak ke kiri atau ke kanan, mereka akan menjadi sasaran penembak tepat Israel yang ditempatkan di lokasi berhampiran.”

Di samping itu, laporan berkenaan menyatakan bahawa pasukan Israel turut merobohkan 850 rumah dan bangunan lain serta gagal mengambil “langkah bermakna untuk memastikan pemindahan orang awam secara selamat dan bermaruah,” selain mengabaikan keperluan golongan kurang upaya.

“Pasukan Israel telah melakukan pemindahan paksa yang melanggar undang-undang pendudukan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang merupakan jenayah perang,” kata HRW.

Kumpulan hak asasi manusia itu juga menegaskan bahawa tindakan itu memenuhi takrif “pemindahan paksa penduduk dan perbuatan tidak berperikemanusiaan lain sebagai sebahagian serangan meluas atau sistematik terhadap penduduk awam,” yang merupakan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Pertubuhan itu menuntut Israel menghentikan perobohan, membenarkan penduduk kembali ke kawasan mereka, memenuhi keperluan kemanusiaan serta bekerjasama dengan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Related posts

Leave a Comment