PRU: Persefahaman lebih mencabar menanti PH, BN

AKHIRNYA persefahaman kerjasama dalam kalangan parti politik GRS-PH dan PH-BN gagal mengelakkan pertindihan kerusi apabila berlaku pertembungan di sekurang-kurangnya empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17, kerusi Kemabong, Bandau, Moyog dan Karamunting dan Silam menyaksikan persefahaman yang ‘koyak’ sama ada melibatkan calon GRS-PH, BN-PH dan GRS-PH-BN.

Pertembungan calon GRS-PH melibatkan kerusi DUN Moyog dalam Parlimen Penampang; BN-PH di Karamunting (P. Sandakan); manakala Kemabong (P.Tenom),Bandau (P.Kota Marudu) dan Silam (P.Lahad Datu) menyaksikan ketiga-tiga parti bertembung sesama sendiri.

Di mana silapnya apabila pertembungan itu tidak dapat dielakkan sehingga hari penamaan calon? Apa yang menyebabkan parti-parti ini bertembung? Masing-masing yakin menang? Memberi peluang atau memenuhi kuota bertanding?

Dengan pertindihan yang kecil, ia mungkin dianggap kes terpencil. Mungkin ini juga medan untuk menguji pengaruh atau kekuatan di kawasan berkenaan yang boleh menjadi ukuran kekuatan dalam menghadapi pilihan raya di peringkat Parlimen.

Pengalaman ini juga mungkin boleh menjadi panduan dalam menyusun langkah kerjasama yang lebih besar pada PRU Parlimen dan DUN di Semenanjung jika PH dan BN mahu meneruskan kerjasama, bukannya bergerak secara solo.

Kerjasama di peringkat Parlimen dan DUN di Semenanjung lebih mencabar di mana formula yang memuaskan hati semua pihak amat penting bagi mengelak pertindihan atau pertembungan sesama sendiri. Mampukah PH-BN bergerak bersama atau berlaku apa yang dikatakan ‘pertarungan persahabatan’.

Bagi Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, pertembungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) membabitkan beberapa kerusi DUN pada 29 November ini sebagai pertarungan persahabatan.

“Ada pertembungan GRS, BN dan PH. Itu saya ingat pertarungan persahabatan,” katanya ketika hadir program minum pagi dan sembang santai bersama pengamal media Sabah di Kota Kinabalu.

Perdana Menteri berkata, situasi itu bukan luar biasa memandangkan politik Sabah mempunyai dinamika tersendiri, termasuk pembahagian kerusi serta kekuatan akar umbi yang berbeza mengikut kawasan.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, pertembungan BN dengan PKR (PH) di Karamunting tidak akan menjejaskan hubungan parti dalam Kerajaan Madani dan tidak akan timbul sebarang masalah mengenai pertembungan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebelum dan selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini berhubung perkara itu.

Di N.06 Bandau, pertembungan bukan sekadar 13 penjuru tetapi melibatkan tiga parti kerajaan Madani GRS-BN-PH bersaing sesama mereka.

Masing-masing meletak calon, di samping parti lain – UPKO, Warisan, Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Impian Sabah (PIS), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Aspirasi Sarawak, Parti Bumi Kenyalang dan dua calon Bebas – Kunci dan Kerusi.

Rekod yang lepas (2020), pertandingan enam penjuru menyaksikan PN menerusi calonnya Wetrom Bahanda memperoleh 5,863 undi menang dengan majoriti 3,363 undi mengalahkan pesaing terdekat Warisan (2,500), Parti Cinta Sabah (PCS) dan USNO masing-masing 477 undi di samping LDP (331) dan Bebas (58).

Bagaimanapun, kali ini Wetrom tidak mempertahankan kerusi itu sebaliknya Timbalan Presiden KDM itu berpindah ke DUN Matunggong.

Pada masa sama, beliau menafikan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Bandau dibuat bagi memberi laluan kepada adiknya, Redonah Bahanda yang dinamakan sebagai calon GRS bagi kerusi tersebut.

“Saya kena bergerak di Matunggong sebab dari dulu, kalau kamu ingat pada tahun 2018 saya telah diumumkan calon di kawasan tersebut oleh Barisan Nasional (BN) dan hasrat saya memang ingin berbakti.

“Jadi kali ini bila ada peluang untuk bertanding, maka saya kembali di Matunggong. Tidak ada isu saya memberi peluang kepada adik saya atau isu lain tetapi saya ingin balik Matunggong dan rakyat minta saya balik berbakti di Matunggong,” jelasnya.

Tanpa kehadirannya di situ, pertembungan lebih terbuka yang memberi peluang pengundi di kawasan berkenaan memilih wakil rakyat baharu.

Di N.26 Moyog, PH dan GRS bertembung dalam pertandingan 12 penjuru yang turut melibatkan calon PIS, UPKO, PN, PKS, PBK, KDM, StarSabah, Warisan serta dua calon Bebas.

Pada PRN lalu, Warisan menang dengan majoriti 5,935 undi melalui calonnya Darell Leiking yang memperoleh 8,437 undi dalam pertandingan tujuh penjuru melibatkan calon PN, LDP, PCS, PPRS, PBS dan Bebas.

Bagaimanapun kali ini Warisan menggugurkan nama Timbalan Presidennya itu daripada senarai calon sebaliknya menampilkan naib Presiden, Terrence Siambun sebagai calon untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Dilaporkan Darell sendiri meminta untuk tidak dicalonkan atas alasan mahu membantu kemenangan Warisan walaupun beberapa kali dipujuk oleh Presidennya, Shafie Apdal supaya mempertahankan kerusi itu.

Satu lagi pertembungan yang menarik adalah di N.43 Kemabong yang melibatkan tiga parti kerajaan Madani dalam pertandingan sembilan penjuru, menyaksikan lapan parti politik dan satu bebas meletakkan calon mereka.

BN, PH dan GRS meletakkan calon masing-masing walaupun wujud persefahaman kerjasama BN-PH dan PH-GRS di samping menarik penyertaan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Warisan, PIS, StarSabah dan KDM.

Pada PRN 2020, dalam pertandingan enam penjuru, Rubin Balang yang bertanding atas tiket Bebas (Manggis) menang dengan majoriti 1,012 undi mengalahkan calon UPKO 3,205 undi diikuti BN 2,966 di samping calon LDP 268, PCS 229, USNO 73.

Kali ini Rubin, veteran politik yang pernah bertanding tiket UMNO dan PBS mewakili GRS, parti di mana beliau pemimpin di kawasan berkenaan selain memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

DAP bertanding di DUN Kemabong dengan alasan BN meletakkan calon walaupun ada persetujuan awal untuk memberi laluan kepada parti itu. Ketika GRS, rakan kerjasama PH menamakan calon mereka, DAP juga tampil menamakan calon.

Hakikatnya, BN yang tidak menjalinkan persefahaman dengan GRS layak bertanding berbanding DAP yang sepatutnya menghormati kerjasama PH-GRS dan tidak meletakkan calon. Apa sebenarnya maksud persefahaman PH-GRS?

Di N.54 Karamunting, pertandingan lima penjuru yang sepatutnya membabitkan persefahaman antara PH-BN, kedua-dua parti Semenanjung itu bertembung di kerusi sama dan berdepan calon Warisan, KDM dan PIS.

Pada PRN lalu, Warisan menang dengan majoriti 2,479 undi dalam pertembungan tujuh penjuru melibatkan BN yang memperoleh 3,215 undi, USNO 306, PBS 235, LDP 129, PCS 81 dan PPRS 30 undi.

Mungkin kedua-dua parti yakin dengan kekuatan untuk merampas Karamunting atau sekadar memenuhi hasrat ahli di kawasan berkenaan. Dalam hal ini, jentera BN diingatkan tidak menyerang calon rakan perpaduan di Karamunting dan Kemabong.

Apabila pertembungan berlaku, undi juga berselerakan. Jika anggota parti memberi undi kepada calon masing-masing itu sudah dianggap baik. Menarik untuk dilihat adakah undi tiga parti itu jika dijumlahkan mengatasi undi parti yang menang.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment