KOTA BHARU 16 Nov. – Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang menggunakan pendekatan sepanjang hayat akan mempersiapkan Malaysia menghadapi impak ‘negara tua’, apabila golongan warga emas dijangka mencecah kira-kira 14 peratus daripada populasi Malaysia menjelang 2048.
Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mohd Shahrim Hussin. berkata, rangka tindakan itu menekankan enam bidang utama iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang.
“Ia menjadi panduan JPA dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pesara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MyPesara 2025 sempena Karnival MyPesara, di sini, hari ini.
Melalui pendigitalan proses pencen, pemantapan data pesara dan kerjasama antara agensi, Mohd Shahrim berkata, matlamat JPA ialah memastikan setiap pesara menerima manfaat dengan cepat dan cekap.
Katanya, ia selaras aspirasi JPA sebagai ‘Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan’.
Mengenai majlis hari ini dan Karnival MyPesara, beliau berkata, inisiatif itu menunjukkan komitmen JPA mendekati komuniti pesara secara lebih holistik melalui pengiktirafan, sokongan dan pembabitan masyarakat.
“Karnival MyPesara membolehkan kami berhubung secara langsung dengan pesara di seluruh negara. Setiap tahun, karnival ini dibawa ke wilayah berbeza untuk memastikan semua pesara berasa disantuni.
“Anugerah MyPesara 2025 pula adalah anugerah pertama seumpamanya bagi mengiktiraf pesara sektor awam yang memberi impak positif dalam bidang pendidikan, khidmat sosial dan komuniti atau keusahawanan,” katanya.
Pada majlis anugerah, hari ini, pemenang utama Kategori Khidmat Sosial dan Komuniti ialah pengasas Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000.
Pengasas The Plot, Dr Abas Mazni Othman pula memenangi kategori Keusahawanan, manakala Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan diiktiraf dalam Kategori Pendidikan.
Karnival itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu, menampilkan pelbagai aktiviti yang mempromosikan penuaan aktif, pemerkasaan kewangan dan kesejahteraan komuniti, selaras prinsip MADANI Rakyat Disantuni.
Nnn
