PARIS – Sebuah jawatankuasa bersama dengan Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan Perancis bagi merangka perlembagaan baharu untuk Palestin, sebagai langkah memperkukuh pembentukan negara Palestin yang berdaulat dan demokratik.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu selepas pertemuan rasmi beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Istana Élysée, Paris.
“Kami bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi mengukuhkan negara Palestin,” kata Macron, sambil menambah bahawa draf perlembagaan telah pun dikemukakan oleh Abbas.
Presiden Abbas menyatakan persetujuan terhadap penubuhan segera jawatankuasa tersebut, yang dijangka memainkan peranan penting dalam reformasi pentadbiran dan penyediaan struktur kenegaraan yang sah.
Pejabat Presiden Perancis menyatakan bahawa usaha ini bertujuan mewujudkan negara Palestin yang hidup aman dan selamat di sisi Israel.
Sementara itu, di BANDARAYA GAZA, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang masih berkuat kuasa, tentera Israel terus melakukan serangan di Gaza, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir.
Pasukan Pertahanan Awam Gaza melaporkan penemuan 35 mayat yang tidak dapat dikenal pasti di sebuah klinik perubatan di Bandaraya Gaza.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar, dengan ribuan mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara.
Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Israel telah meluluskan bacaan pertama undang-undang yang membolehkan hukuman mati dikenakan dalam kes berkaitan “keganasan”.
Pengkritik menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang ini mungkin hanya dikenakan terhadap rakyat Palestin.
Nnnnn
