Israel halang kemasukan barangan penting

GENEVA – Israel didakwa menghalang kemasukan barangan penting, termasuk picagari untuk vaksinasi kanak-kanak dan botol susu formula bayi daripada memasuki Gaza.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mendedahkan demikian berkata, sekatan itu menghalang agensi bantuan daripada membantu penduduk yang memerlukan di wilayah yang musnah akibat peperangan itu.

Agensi itu berkata pihaknya menghadapi kesukaran besar untuk membawa masuk 1.6 juta picagari serta peti sejuk berkuasa solar bagi menyimpan vaksin ke Gaza ketika UNICEF sedang melaksanakan kempen vaksinasi besar-besaran.

Picagari-picagari berkenaan telah tertangguh untuk pelepasan kastam sejak Ogos lalu.

“Kedua-dua picagari dan peti sejuk itu dianggap sebagai barangan ‘dwi-guna’ oleh Israel dan kami mendapati amat sukar untuk mendapat kelulusan dan pelepasan bagi barangan ini, sedangkan ia amat mendesak,” kata jurucakap UNICEF, Ricardo Pires.

Istilah “dwi-guna” merujuk kepada barangan yang dianggap Israel mempunyai potensi untuk digunakan bagi tujuan ketenteraan, selain kegunaan awam.

COGAT, cabang tentera Israel yang menguruskan aliran bantuan ke Gaza setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.

Sebelum ini, agensi itu menegaskan bahawa ia tidak mengehadkan kemasukan makanan, air, bekalan perubatan dan barangan perlindungan.

Israel juga menuduh Hamas mencuri bekalan bantuan kemanusiaan — tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan militan Palestin itu.

UNICEF memulakan pusingan pertama daripada tiga fasa vaksinasi susulan pada Ahad bagi menjangkau lebih 40,000 kanak-kanak bawah umur tiga tahun yang terlepas vaksin rutin terhadap polio, campak dan radang paru-paru selepas dua tahun perang di Gaza.

Pada hari pertama kempen itu, UNICEF berjaya memberikan pelbagai vaksin kepada lebih 2,400 kanak-kanak.

“Kempen vaksinasi telah bermula, namun kami masih mempunyai dua pusingan lagi, dan untuk itu kami memerlukan lebih banyak bekalan,” kata Pires.

Menurut UNICEF,  walaupun lebih banyak bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza, beberapa barangan penting masih disekat oleh pihak berkuasa Israel, termasuk 938,000 botol susu formula bayi siap guna dan alat ganti untuk lori air.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment