GAZA – Sekurang-kurangnya 236 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 600 lagi cedera akibat serangan berterusan Israel selepas gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa sejak bulan lalu.
Pada masa yang sama, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terus bergelut dengan kelaparan, kesejukan dan kehilangan nyawa di tengah kepungan ketat Israel yang berlanjutan, sejak gencatan senjata diumumkan.
Keadaan semakin meruncing apabila bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas gagal disalurkan secara konsisten.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam terakhir, tiga lagi mayat ditemukan di bawah runtuhan bangunan, manakala seorang mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terdahulu.
Sementara itu, Israel hanya membenarkan purata 145 trak bantuan masuk setiap hari, jauh lebih rendah daripada 600 trak yang dijanjikan dalam perjanjian gencatan senjata.
Penduduk Gaza, termasuk kanak-kanak dan warga emas, terpaksa mencari makanan di celah runtuhan dan berteduh dalam keadaan serba kekurangan.
Ramai yang kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga, menjadikan krisis kemanusiaan ini antara yang paling buruk dalam sejarah moden wilayah tersebut.
Pihak berkuasa kesihatan dan organisasi antarabangsa telah memberi amaran bahawa risiko kebuluran dan penyakit semakin meningkat, dengan hampir separuh juta penduduk kini berada dalam keadaan malnutrisi dan kelaparan akut.
Nnnn
