Tiada arahan tutup pondok tidak berdaftar

PUTRAJAYA 24 Okt. – Kerajaan Persekutuan tidak pernah bercadang mengeluarkan arahan penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah seperti tular di media sosial, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyifatkan dakwaan tidak benar itu berniat jahat dan bersifat fitnah tanpa menyatakan sebarang sumber yang sahih atau rasmi.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Persekutuan atau Jabatan di bawah saya akan mengarah penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.

Dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah. Amat ketara perbuatan tidak bermoral dan memfitnah ini kerana ia tular tanpa menyatakan sebarang sumber yang sahih atau rasmi.

Tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas terutamanya yang melibatkan isu sensitif seperti institusi agama adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

​Beliau menjelaskan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz sebagai antara tunjang pembangunan Malaysia Madani.

​Katanya, usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa agama adalah bagi memastikan penambahbaikan sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam, demi menjaga kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan, serta kualiti pengajian agama agar lebih tersusun dan diiktiraf.

​Justeru beliau menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah yang boleh menjejaskan imej institusi Islam serta menimbulkan kekeliruan masyarakat yang boleh memecah-belahkan umat.

“Sebarang maklumat sahih berkenaan dasar atau keputusan rasmi akan disalurkan melalui saluran rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, dan agensi berkaitan,” katanya sambil mengajak masyarakat bersama memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment