APMM nafi serbu Masjid Rusila

PUTRAJAYA 22 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pasukan elit agensi itu terbabit latihan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah APMM,  Mohd Rosli Abdullah berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.

“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya. Pihak masjid dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.

Elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap dakwaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini yang mendakwa APMM mengadakan latihan di masjid itu dan menyamakan dengan serangan dalam tragedi Memali 1985.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.

Mohd Rosli berkata, dakwaan berkenaan jelas satu fitnah yang berniat jahat terhadap APMM dan mengesahkan aktiviti terbabit di bawah kawalan jurulatih kanan serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi yang ketat.

“APMM tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi. Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” katanya.

Mohd Rosli menjelaskan latihan yang dijalankan itu mengikut modul ‘Survival, Evasion, Resistance and Escape ‘(SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

Katanya, latihan ini penting bagi membentuk daya tahan, disiplin, dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

Beliau menegaskan tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan dan isu laporan polis yang timbul diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan saja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment