SHAH ALAM 15 Okt. – Siasatan polis setakat ini tidak menemui petunjuk bahawa suspek berusia 14 tahun yang menikam dan membunuh pelajar perempuan sekolah sama di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam mengalami masalah kesihatan mental.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, bagaimanapun berkata, suspek akan dihantar untuk penilaian psikiatri selepas siasatan selesai dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,
Katanya , dorongan emosi dan pengaruh media sosial mungkin mendorong tindakan suspek berusia 14 tahun itu.
Beliau berkata siasatan setakat ini menunjukkan bahawa faktor-faktor terbabit menyumbang kepada tindakan pelajar lelaki Tingkatan Satu itu.
“Polis memandang serius insiden ini dan menggesa semua pihak, termasuk pihak sekolah, sektor pendidikan dan masyarakat untuk terus bekerjasama memastikan keselamatan pelajar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dipercayai telah ditikam hingga mati oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah.
Mangsa ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan di kawasan sekolah berkenaan.
Susulan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa, selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Pagi ini, suspek berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas polis mendapat perintah dikeluarkan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Pelajar Tingkatan Satu itu yang diwakili peguam, Anuar Ezzad direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nnnn
