KAHERAH – Sidang kemuncak mengenai Gaza di Sharm el-Sheikh esok akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir semalam, mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada petang Isnin dengan penyertaan lebih 20 pemimpin negara.
Sidang berkenaan bertujuan menamatkan peperangan di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka era baharu keselamatan dan kestabilan serantau.
Antara pemimpin yang mengesahkan kehadiran ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Bagaimanapun, tiada pengesahan setakat ini sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan menyertai persidangan itu, manakala Hamas mengesahkan tidak akan mengambil bahagian.
