Harga minyak mentah dunia susut

NEW YORK – Susulan persetujuan Israel dan Hamas terhadap fasa pertama pelan untuk menamatkan perang di Gaza, harga minyak mentah dunia dilapor susut pada awal dagangan hari ini.

Situasi itu sekali gus menurunkan premium risiko peperangan di Asia Barat dan mendorong pelabur menjual pegangan mereka.

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 51 sen, atau 0.77 peratus kepada AS$65.74 setong pada 0002 GMT, manakala WTI (West Texas Intermediate) Amerika Syarikat susut 55 sen atau 0.88 peratus kepada AS$62 setong.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Israel dan Hamas telah mencapai perjanjian penting bagi gencatan senjata dan pembebasan tebusan di bawah pelan untuk menamatkan perang dua tahun di wilayah Palestin itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula memaklumkan bahawa beliau akan memanggil mesyuarat Kabinetnya hari ini bagi meluluskan perjanjian gencatan senjata berkenaan.

Perang di Gaza sebelum ini telah menyokong harga minyak global kerana pelabur menilai kemungkinan konflik itu berkembang menjadi krisis serantau yang boleh menjejaskan bekalan minyak dunia.

Semalam, harga minyak meningkat hampir 1 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu selepas pelabur berpendapat kemajuan yang perlahan dalam rundingan damai Ukraine akan mengekalkan sekatan terhadap Russia.

Related posts

Leave a Comment