SEPANG 5 Okt. – Wira Putra membidas sikap Datuk Seri Tiong King Sing yang lebih gemar berperang lidah daripada memperbetulkan keadaan dalam isu berhubung hidangan minuman beralkohol pada majlis makan malam melibatkan Tourism Malaysia baru-baru ini.
Pemangku Ketua Wira Putra, Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu bukan sahaja mempamerkan keangkuhan kuasa, tetapi juga ketakutan terhadap kebenaran.
“Tindak balas beliau terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin (yang membangkitkan isu itu) dengan menuduhnya mencari publisiti hanya menyerlahkan mentaliti politik lama yang sombong dan tidak profesional,” katanya.
Wira Putra dalam satu kenyataan berkata, rakyat berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam majlis itu dan King Sing tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan teknikal atau serangan politik.
“Beliau perlu tampil dengan bukti, menjawab secara terbuka, dan menghormati sensitiviti Islam. Jika gagal berbuat demikian, jelaslah yang menjadi masalah bukan dakwaan itu, tetapi menteri yang tidak tahu memikul tanggungjawab,” katanya.
Semalam King Sing menyifatkan dakwaan kononnya terdapat minuman beralkohol dalam majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal adalah tidak berasas sama sekali dan amat mengelirukan.
Menurut King Sing, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet manakala acara makan malam yang dijadikan isu oleh Mas Ermieyati adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Dr Mohamad Izwan berkata, menteri berkenaan gagal memahami apakah perkara asas kepada sesuatu isu yang dibangkitkan sebaliknya dengan mudah menuduh dakwaan itu “tidak berasas” tanpa fakta atau penjelasan konkrit.
“King Sing mendakwa, kenyataan tanpa fakta boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia, namun hakikatnya, imej Malaysia tercalar bukan kerana kritikan, tetapi kerana sikap menteri yang menolak kebertanggungjawaban dan gagal menunjukkan ketelusan.
Dunia tidak menilai kita melalui penafian, tetapi melalui kejujuran menghadapi realiti. Selagi pemimpin menafikan tanpa bukti, selagi itulah kepercayaan rakyat dan imej negara akan terus merosot,” katanya.
Tegasnya, alasan bahawa majlis tersebut dianjurkan oleh pihak swasta dan bukan di bawah Tourism Malaysia adalah dalih tipikal pemimpin yang mahu lepas tangan sedangkan, majlis itu jelas dikaitkan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, inisiatif nasional di bawah tanggungjawab kementerian.
“Lebih menyedihkan, Menteri langsung tidak menunjukkan kepekaan terhadap isu agama dan maruah umat Islam sebagai masyarakat majoriti di negara ini. Bagi masyarakat Islam, isu alkohol bukan perkara kecil atau simbol protokol antarabangsa, tetapi menyentuh soal akidah dan penghormatan.
Seorang menteri yang matang sepatutnya menunjukkan empati, bukan mempertahankan diri dengan alasan remeh dan menolak kritikan mentah-mentah seperti tiada nilai sensitiviti dalam pentadbiran,” katanya.
Nnnn
