Daging: Tingkat rondaan di masjid

SINGAPURA – Polis Singapura meningkatkan rondaan di masjid dan memantau rapi keadaan selepas beberapa rumah ibadat Islam di negara itu menerima bungkusan mencurigakan berisi daging.

Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, berkata siasatan sedang dijalankan dan sesiapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan tegas.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi. Kita tidak tahu siapa yang melakukannya, kita tidak tahu apa motifnya, tetapi setakat ini siri kejadian ini kelihatan hanya menyasarkan masjid… di mana potongan daging dihantar.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk memastikan rumah ibadat kekal selamat,” katanya kepada media selepas melawat Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North semalam..

Beliau menegaskan bahawa perbuatan menyasarkan rumah ibadat adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima dan Singapura mempunyai tolak ansur sifar terhadap tindakan sedemikian.

Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara berkata dalam kejadian pada Rabu, sebuah bungkusan berisi sekeping daging, yang pada awalnya kelihatan seperti daging babi, dihantar ke Masjid Al-Istiqamah.

Kejadian itu menyebabkan masjid berkenaan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami sedang memeriksa jenis daging berkenaan. Apa pun jenisnya, ia bersifat provokatif apabila dihantar ke masjid atau rumah ibadat lain dengan cara ini. Namun, jika ia daging babi dan dihantar ke masjid, anda boleh bayangkan kesannya lebih buruk,” katanya.

Sementara itu Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata solat harian telah disambung semula di Masjid Al-Istiqamah.

“Keselamatan semua yang hadir tetap menjadi keutamaan kami. Pihak masjid akan terus berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan persekitaran yang selamat,” menurut MUIS dalam satu hantaran di Facebook.

Pemangku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa semua pihak bertenang, sentiasa berwaspada dan tidak menyebarkan maklumat salah.

“Pagi ini, saya bersama jemaah menunaikan solat Subuh di masjid yang telah kembali beroperasi seperti biasa. Saya memberi jaminan kepada jemaah bahawa MUIS dan pihak masjid bersedia menyokong kakitangan serta jemaah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

(Foto fb Dr Faishal)

Related posts

Leave a Comment