Perancis secara rasmi iktiraf Palestin

NEW YORK – Perancis secara rasmi mengumumkan pengiktirafan negara Palestin semasa pembukaan sidang kemuncak khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjelang sidang agung tahunan

Pengumuman oleh Presiden Emmanuel Macron di hadapan delegasi antarabangsa itu mendapat tepukan gemuruh.

“Setia kepada komitmen sejarah negara saya terhadap keamanan di Asia Barat, saya mengisytiharkan bahawa hari ini, Perancis mengiktiraf negara Palestin,” kata Macron

Langkah ini menyusul pengiktirafan serupa oleh Britain, Kanada, Australia dan Portugal sehari sebelumnya, menandakan gelombang sokongan baharu terhadap penyelesaian dua negara yang telah lama terbantut.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) memboikot sidang tersebut, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai tindakan yang “mengganjar keganasan” dan berpotensi menggugat kestabilan serantau.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa tiada negara Palestin akan diwujudkan, dan memberi bayangan kemungkinan penguasaan wilayah Asia Barat Barat sebagai tindak balas.

Delegasi Palestin, termasuk Duta Besar ke PBB Riyad Mansour, menyambut pengumuman Macron dengan berdiri dan bertepuk tangan.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas, yang dilarang menghadiri sidang oleh Washington, turut kelihatan bertepuk tangan melalui siaran langsung video yang diluluskan khas oleh Sidang Agung PBB.

Walaupun pengiktirafan ini bersifat simbolik dan tidak menjamin perubahan segera di lapangan, ia dilihat sebagai usaha penting untuk menghidupkan semula rundingan damai yang terhenti sejak 2014.

Setakat ini, kira-kira tiga perempat daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dijangka mengetuai perbincangan lanjut mengenai pelan damai dan langkah-langkah konkrit ke arah penyelesaian dua negara, termasuk gencatan senjata dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sidang Agung PBB tahun ini yang bakal menghimpunkan lebih 140 pemimpin dunia menjadi medan penting untuk menilai semula pendekatan global terhadap konflik Israel-Palestin, dengan tekanan semakin meningkat agar penyelesaian jangka panjang dapat dicapai sebelum idea negara Palestin lenyap sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment