Singapura sedia iktiraf Palestin

SINGAPURA 22 Sept. – Singapura menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai dan mengumumkan bakal mengenakan sekatan khusus terhadap pemimpin kumpulan Israel, kata Menteri Luar, Vivian Balakrishnan

Singapura dan Israel menjalin hubungan diplomatik dan ketenteraan sejak republik itu merdeka pada 1965, namun pada 2024 Singapura mengundi menyokong beberapa resolusi yang menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Negara-negara Barat dan beberapa negara lain kini memperketatkan pendirian terhadap kumpulan peneroka serta beberapa pegawai Israel yang dituduh mencetuskan keganasan.

Berucap di Parlimen, Balakrishnan menegur ahli politik Israel yang bercakap mengenai rancangan untuk menjajah sebahagian Tebing Barat atau Gaza, dua wilayah Palestin yang diduduki Israel.

“Kami menggesa kerajaan Israel menghentikan pembinaan dan peluasan penempatan haram. Kami menentang sebarang cubaan berterusan untuk mewujudkan fakta baharu di lapangan yang akan menjejaskan prospek penyelesaian dua negara,” katanya.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai sekatan berkenaan akan diumumkan pada tarikh lain.

Balakrishnan menegaskan, soal pengiktirafan negara Palestin bukan lagi persoalan ‘jika’, tetapi ‘bila’, sambil menambah bahawa Singapura menunggu ‘konstelasi faktor’ yang sesuai termasuk penubuhan kerajaan Palestin yang berkesan, mengiktiraf hak kewujudan Israel serta menolak keganasan secara mutlak.

“Akhirnya, bagi menyelesaikan konflik berlarutan ini secara menyeluruh, adil dan berkekalan, mesti ada satu perjanjian rundingan yang menghasilkan dua negara, Israel dan Palestin, dengan rakyat kedua-duanya hidup bersama dalam keamanan, keselamatan serta maruah,” katanya.

Sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.

Namun, Israel menafikannya dengan alasan ikatan sejarah dan kitab suci terhadap wilayah itu serta mendakwa penempatan berkenaan memberi jaminan keselamatan.

Related posts

Leave a Comment