SEREMBAN 21 Sept. – DAP bersedia mengekalkan prinsip dan formula pembahagian kerusi dengan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara satu sama lain.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dalam hal ini, mana-mana kerusi yang dimenangi parti berkenaan pada pilihan raya lalu, perlu dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
“Jika BN yang menang, kita tidak lawan (letak calon bertanding) dan begitu juga sebaliknya. Ini kerangka dan prinsip dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya hendak diteruskan hingga pilihan raya akan datang.
Namun, sama ada mereka (BN) hendak meneruskan kerjasama atau tidak, itu terpulang. Kita (DAP) bersedia untuk meneruskan kerjasama ini pada masa depan tetapi dari segi pembahagian kerusi, prinsip itu mesti dipatuhi,” katanya.
Bercakap pada media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-23 di sini, hari ini, beliau berkata, bagi kerusi yang dimenangi pihak lawan pula, parti-parti dalam kerajaan perpaduan akan berunding.
Dalam pada itu, Loke, menafikan DAP menjadi punca dakwaan keretakan hubungan MCA dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN).
“Mengapa kita (DAP) yang menjadi punca pula? Masalah ‘rumah tangga’ kamu hendak salahkan orang lain. Kita hanya menjalankan kerja dengan baik… memfokus kepada peranan kita dalam kerajaan.
Masalah orang lain, saya tak nak masuk campur. Itu masalah antara mereka… kalau dia ada masalah, jangan salahkan orang lain,” katanya bagi mengulas dakwaan segelintir pihak yang melihat DAP sebagai punca hubungan MCA keruh dalam BN.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dakwaan mengaitkan DAP dalam isu sedemikian, seolah-olah hendak menjadikan parti itu sebagai ‘kambing hitam.’
“Kebiasaannya, orang yang lemah akan mencari masalah kepada orang lain, mereka tidak cermin diri sendiri. Jangan salahkan orang lain kerana ia tidak akan membantu memperkuatkan diri (parti) anda,” katanya.
Ogos lalu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, dilaporkan berkata parti itu perlu membuat keputusan sama ada mahu kekal atau keluar BN susulan hubungan semakin rapat antara UMNO dengan DAP.
Lian Ker dipetik berkata, UMNO serta DAP dilihat semakin mesra dalam pelbagai acara politik, sekali gus menjadi tamparan hebat kepada MCA dan mencetuskan kekecewaan akar umbi parti yang sudah lama menjadi sekutu utama UMNO dalam BN.
Nnnn
