Tindakan SKMM melampau, ‘buli’ media – Pas

SEPANG 20 Sept. – Pas menyifatkan kompaun RM100,000 terhadap akhbar Sin Chew dan Sinar Harian berikutan kesilapan yang dilakukan oleh media terbabit sebelum ini sebagai tindakan melampau dan kelihatan seperti “membuli”.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata, Pas turut berkongsi “kebimbangan serius” Majlis Media Malaysia (MMM) terhadap langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu.

“Amaun kompaun tersebut melampau, seperti “membuli” media supaya akur kepada garis atau tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan dengan mewujudkan iklim tapisan kendiri (self censorship) yang berpotensi menghakis peranan bebas media sebagai tonggak keempat demokrasi dan saluran maklumat rakyat,” katanya.

Beliau mengulas tindakan SKMM terhadap Sin Chew Daily yang memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman web mereka manakala Sinar Harian kerana infografik yang secara salah menyatakan bahawa Ketua Polis Negara Khalid Ismail adalah ahli PKR.

Takiyuddin berkata, sebagai organisasi media yang sudah lama wujud dan melaporkan perkembangan di dalam negara ini selama berpuluh tahun merentas kerajaan, parti dan pemimpin, kedua-duanya tentulah layak dipercayai untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan kedudukan masing-masing, tanpa perlu dilayan dengan cara yang sangat tidak wajar.

“Langkah kedua-dua media ini menarik segera laporan yang tersilap, membetulkannya dan meminta maaf secara terbuka sebaik sahaja ia disedari adalah memadai sesuai dengan kedudukan, jasa dan usia mereka.

Ini kerana dalam dunia penerbitan, langkah-langkah tersebut sudah merupakan satu “hukuman” kerana kesannya ke atas integriti dan kewibawaan media terbabit di mata pembaca.

Hanya kesalahan sama yang berulang-ulang boleh dianggap sebagai kesalahan serius yang mewajarkan tindakan keras ke tahap langkah yang diambil oleh SKMM ini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Dalam pada itu, Pas percaya tindakan dalaman oleh MMM sebagai badan kawal selia industri media negara sudah mencukupi bagi memastikan standard etika kewartawanan, tanggungjawab, intergiti dan kepatuhan undang-undang dalam kalangan pengamal dan pemain industri.

Katanya, peranan  MMM sebagai tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai media dan laporannya hendaklah dihormati, malah diperkukuhkan tanpa campur tangan terus pihak luar sebelum proses dalaman itu berjalan sempurna.

“Tindakan sebaliknya akan hanya menafikan status, peranan dan tujuan MMM ditubuhkan, sekali gus menjadikannya sia-sia,” katanya.

Terdahulu MMM menyuarakan “kebimbangan serius” terhadap denda RM100,000 yang dikenakan sambil memberi amaran bahawa hukuman berat sebegitu berisiko mewujudkan ketakutan dan penapisan sendiri dalam bilik berita.

Majlis media berkata walaupun pihaknya mengakui kepentingan ketepatan dan penghormatan terhadap simbol kebangsaan, hukuman yang dikenakan itu berlebihan dan tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.

““Hukuman yang begitu berat boleh mewujudkan suasana ketakutan dan penapisan sendiri dalam kalangan wartawan serta pengarang, sekali gus melemahkan tanggungjawab utama media untuk memaklumkan masyarakat dan memantau pihak berkuasa,” katanya.

MMM  turut menegaskan isu berkenaan tercetus ketika industri media Malaysia sedang melalui transformasi pesat, dengan kecerdasan buatan (AI) dan peralatan digital membentuk semula kaedah pengumpulan serta penyampaian berita.

“Penalti yang melampau menimbulkan ketidaktentuan dan boleh menghalang bilik berita daripada bereksperimen serta berinovasi dengan teknologi baharu ini, sekali gus menjejaskan pembangunan landskap media yang lebih dinamik dan berpandangan jauh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment